YPF 2025 anjuran PRactitioners mahu bentuk, pupuk generasi lebih bersedia

YPF 2025 anjuran PRactitioners mahu bentuk, pupuk generasi lebih bersedia


PETALING JAYA: Seramai 500 peserta dari lapan universiti dan kolej seluruh negara menyertai Forum Pengamal Perhubungan Awam Muda (YPF) 2025 anjuran Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners), semalam.

PRactitioners berkata forum berimpak tinggi itu bertujuan memperkasa pelajar dan graduan dengan ilmu, kemahiran serta rangkaian profesional bagi meningkatkan daya saing dalam bidang perhubungan awam serta komunikasi yang semakin berkembang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, dalam ucapan yang disampaikan Setiausaha Politiknya, Dr Kelvin Yii, berkata komunikasi strategik kini menjadi keperluan utama dalam pembangunan negara dan pertumbuhan generasi baharu.

“YPF memberi ruang untuk mendengar aspirasi anak muda dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya di peringkat tempatan dan global,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PRactitioners, Datuk P. Kamalanathan, mengakui penganjuran forum seperti YPF adalah tepat pada masanya dan menjadi keperluan dalam membina asas kukuh bagi membentuk generasi profesional.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha memastikan generasi muda dibekalkan dengan ilmu teknikal, keyakinan dan pemikiran kritikal untuk memacu industri ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Bagi Pengerusi Penganjur YPF 2025, Christopher Raj, menekankan misi forum ini ialah untuk memberi motivasi dan menggerakkan bakat baharu dalam bidang komunikasi.

“Kami mahu setiap peserta mengakhiri forum ini dengan hasil yang lebih berkeyakinan, berilmu dan semangat untuk menyahut cabaran kerjaya di luar sana.

“YPF adalah ruang untuk membina hubungan, mencetuskan idea dan memulakan kerjaya,” katanya.

Penganjuran YPF 2025 adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Young Practitioners Initiative’ yang dilancarkan Januari lalu, menghimpunkan pengamal industri, pendidik dan pelajar untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.

Forum itu turut menampilkan moderator dan panel tersohor dari pelbagai sektor yang membincangkan hala tuju kerjaya dalam komunikasi massa, pengurusan krisis dari perspektif Malaysia, implikasi Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dan strategi pengurusan pihak berkepentingan.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top