sukan@hmetro.com.my
Tong Yu Jing memecahkan rekod kebangsaan dan menamatkan kemarau pingat 25 tahun Malaysia dalam acara 50 meter gaya bebas lelaki di Sukan Sea Thailand hari ini.
Yu Jing mencatat 22.48 saat (s) untuk memadam rekod lama 22.91s, sekali gus meraih pingat gangsa.
Perenang Singapura, Mikkel Lee memenangi emas dengan 21.92s manakala rakan senegaranya, Teong Tzen Wei meraih perak dengan 22.42s.
Yu Jing berkata, dia hanya mensasarkan rekod kebangsaan dan tidak menjangka meraih pingat.
Ini juga pencapaian terbesar buatnya memandangkan dia hanya berada di Pusat Latihan Kebangsaan sejak Februari dan baru pertama kali beraksi di Sukan Sea.
Pingat gangsa itu juga menamatkan penantian Malaysia selepas kali terakhir menang pingat dalam acara itu pada 2001 melalui Allen Ong yang meraih perak di Hanoi.
Dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki, Malaysia meraih perak dan memecahkan rekod kebangsaan.
Pasukan negara, Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun, Dhuha Zulfikry dan Terence Ng, mencatat 7:19.50s, mengatasi rekod lama 7:19.66s.
Vietnam memenangi emas dengan 7:18.67s manakala Singapura meraih gangsa dengan 7:21.13s.
© New Straits Times Press (M) Bhd





