norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerbit filem dan drama, Datuk Yusof Haslam, 70, mengaku dia memang mempunyai hasrat agar Syamsul, 41, dan Syafiq Yusof, 33, dapat berganding bahu menghasilkan filem bersama suatu hari nanti.
Yusof berkata, isterinya, Datin Patimah Ismail juga memiliki impian yang sama kerana kedua-dua anak lelaki mereka itu sememangnya berbakat dalam penghasilan filem seterusnya mewarisi legasi keluarga.
“Insya Allah, memang itu niat saya (untuk Syamsul dan Syafiq satu buat filem bersama). Saya sebenarnya, kalau boleh emaknya pun hendak begitu.
“Tapi, mungkin belum masanya lagi. Sebab dalam berkarya ini, kita perlu ada ‘team’ (pasukan) dan saya lihat kerjasama antara Syafiq serta Abhilash Chandra ini adalah satu idea terbaik.
“Sama macam ketika zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee ketika arwah buat filem dulu. Di belakangnya (P Ramlee) ada arwah S Sudarmaji dan beberapa orang lain lagi yang membantunya.
“Jadi, begitu juga yang saya inginkan kerjasama baik dengan pihak lain bersama Skop Productions iaitu Primeworks Studios dan Astro Shaw sebagai ‘partner’ untuk hasilkan filem seterusnya, Sheriff 2,” katanya kepada Harian Metro.
Ujar Yusof lagi, kerjasama padu yang cuba dirancangnya itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi gabungan antara penerbit filem tempatan bagi bersama-sama menghasilkan karya seni terbaik tanah air.
Sementara itu, gandingan Shafiq dan Abhilash turut membuahkan hasil apabila filem Blood Brothers: Bara Naga yang mencetus fenomena luar biasa kepada penonton tempatan hingga mencatat kutipan ‘box office’ melebihi RM70 juta dalam tempoh 25 hari tayangan di pawagam.
Filem menelan bajet pembikinan RM7 juta diterbitkan Skop Productions dan Primeworks Studios.dibarisi pelakon terkenal tanah air antaranya Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Amelia Henderson, Shukri Yahaya, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, Andy Teh dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd