Yusri mahu pemain Perak kekal momentum

Yusri mahu pemain Perak kekal momentum


Pemain pasukan Perak FC meraikan jaringan gol ketiga ketika menentang Kelantan Darul Naim FC pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah mampu tersenyum lebar selepas menyaksikan skuad bimbingannya menang bergaya 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Clayton Da Silva cemerlang meledak empat gol selain masing-masing satu daripada ketua pasukan Luciano Guaycochea, Adilet Kanybekov dan Tommy Mawat Bada untuk memastikan Perak naik tiga anak tangga ke kedudukan kelima carta liga mengumpul 22 mata.

Yusri berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemainnya yang telah memanfaatkan peluang untuk beraksi dengan baik bagi memperbaiki kedudukan liga.

“Tahniah kepada pemain kerana telah menggunakan peluang yang ada tanpa melepaskan sebarang gol pada pihak lawan sebaliknya berjaya mencipta lebih banyak jaringan.

“Saya harap pemain dapat kekalkan momentum kemenangan ini kerana masih ada beberapa perlawanan yang penting dan lebih sukar untuk kita harungi musim ini,” katanya.

Yusri menambah skuadnya mahu kekal fokus pada perlawanan seterusnya iaitu bertemu Kuching City FC pada 7 Februari di Stadium Negeri, Kuching, sebelum menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada 27 Februari.

“Kita sudah hampir sampai ke penghujung liga dan pemain seharusnya memastikan setiap minit itu cukup berharga untuk merebut segala peluang hingga akhirnya berjaya bantu pasukan raih tiga mata.

“Jika mereka sedar sebelum ini prestasi mereka tidak begitu baik, jadi mereka perlu memperbaiki diri sedikit demi sedikit untuk buat lebih baik daripada ini dalam aksi akan datang,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top