Zahid dedah formula supaya BN menang lebih banyak kerusi

Zahid dedah formula supaya BN menang lebih banyak kerusi


KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu untuk meraih lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 kelak sekiranya mengenepikan isu-isu remeh dan titik bengik.

Formula tersebut jelas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu dipraktikkan sekiranya gabungan itu mahu memperkukuhkan parti.

“Kalau BN bekerja keras dan strategi pilihan raya dan PRK disusun dengan baik dan mengenepikan perbalahan sesama sendiri, walaupun di negeri pembangkang BN masih boleh menang dengan cemerlang kalau ini dapat kita pertahankan.

“Kalau kita mengenepikan perkara titik bengik serta isu-isu kecil dan jika kita kembali ke landasan BN yang sebenar dengan memperkukuhkan semangat BN dan dalam masa sama pemimpin utama parti komponen menyepikan pandangan berbeza di kalangan kita, saya hampir  pasti BN akan peroleh kerusi yang lebih dalam PRU akan datang,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian dalam ucapan merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke 71 di Dewan San Choon, hari ini.

Hadir sama adalah Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Pengerusi BN,  Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden MAC, Datuk Seri Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Justeru itu, Ahmad Zahid berkata gabungan BN perlu bergerak sederap dan pandai untuk menyembunyikan masalah yang timbul dalam kalangan parti dan berusaha menyelesaikannya di peringkat parti.

“Kita harus menyantuni perbezaan pendapat dalam bilik tidur kita jangan pernah bawa masalah bilik tidur di hadapan halaman rumah kita.

“Atau pun kita bawa di luar pagar rumah apabila kenderaan lalu lalang dan orang lihat permasalahan itu maka itu akan jadi lebih besar. Oleh itu menyantuni perbezaan pendapat dalam kalangan kita adalah penting,” kata Ahmad Zahid lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengumumkan Ka Siong dilantik Penasihat Pelaburan Masyarakat Cina di bawah Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Zahid berkata Ka Siong akan berperanan sebagai penasihat beliau khsusus dalam pelaburan melibatkan masyarakat Cina di negara ini.

“Saya umumkan presiden MCA, Wee Ka Siong telah dilantik sebagai Penasihat Pelaburan Masyarakat Cina di Malaysia di bawah saya sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam acara sama. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top