July 23, 2024

Zahid sifatkan Annuar “gila talak”

Zahid sifatkan Annuar “gila talak”


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi menyifatkan Tan Sri Anuar Musa sebagai seorang yang “gila talak” apabila menuduh beliau mengugut pengundi-pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Presiden UMNO itu berkata, apa yang diperkatakan oleh beliau ketika berucap dalam sebuah program di Sungai Bakap malam tadi bukannya satu saranan dan bukan juga janji.

Sebaliknya, ia adalah cadangan untuk membangunkan sebuah sekolah Tamil untuk kegunaan masyarakat India di kawasan itu.

“Ini bukannya satu saranan, bukannya satu janji tetapi, kalau diteliti ucapan saya malam tadi adalah mencadangkan supaya sebuah sekolah Tamil yang telah dibatalkan itu dihidupkan semula.

“(Ini) kerana peruntukannya ada ketika itu, tetapi ia telah disalurkan ke tempat lain…dan adalah munasabah untuk penduduk di Nibong Tebal khususnya di Sungai Bakap yang terdiri dalam kalangan orang-orang India diberi pendidikan di sekolah Tamil itu

“Yang keduanya pusat aktiviti warga emas, semua daerah telah ada tetapi daerah Sebarang Prai Selatan khususnya di Sungai Bakap belum diwujudkan.

“Saya telahpun diberitahu peruntukannya telah ada dan saya mencadangkan agar peruntukan ini digunakan selepas pilihan raya Sungai Bakap,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Hari Anugerah Pendidik MARA 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) apabila mengatakan beliau mengugut dan menghina pengundi di DUN Sungai Bakap berhubung dua projek yang seolah-olah tidak akan diberi sekiranya Pakatan Harapan (PH) kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan.

Annuar dalam kenyataannya berkata, kenyataan Ahmad Zahid adalah satu ugutan dan percubaan merasuah pengundi saat akhir secara langsung.

Malah, beliau mendakwa selepas ini akan ada ulasan mempertahan dan menyokong perbuatan seperti itu yang akhirnya ia dihalalkan dan jadi satu budaya pemerintah.

Ditanya, mengapakah Annuar mengeluarkan kenyataan sedemikian Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, dia gila talak. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top