Pelakon versatile, Zahiril Adzim mengakui tidak pernah menyangka keterlibatannya dalam drama bersiri mampu memberikan impak besar terhadap kerjaya lakonannya sehingga dinobatkan sebagai Aktor TV Popular di Anugerah Berita Harian (ABPBH) Ke-37 baru-baru ini.
Menurut Zahiril atau nama lengkapnya, Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, sebelum ini dia lebih banyak terlibat dalam file dan. keputusan untuk kembali aktif dalam drama bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya selepas mendapat keizinan dan dorongan daripada isterinya.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini kerana ini bukan liga saya. Sebab sebelum ni saya banyak involve dalam filem.
“Sehinggalah isteri saya izinkan. Dan tawarandrama dibuat supaya orang tak lupakan saya.
“Sebenarnya, saya tak ada apa nak explore lepas ni. Cuma, saya akan buat cara saya untuk setiap watak yang ditawarkan kepada saya,” katanya.
Ketika diminta mengulas perbezaan antara drama dan filem, Zahiril berpendapat, drama lebih mudah dekat dengan penonton kerana sifat penceritaannya yang lebih ringkas dan mudah dihadam.
“Resipi drama lebih ‘instant’. Bukan kata lebih menjadi, cuma naskhah drama lebih dekat dengan orang. Dulu karya saya lebih ‘deep’,” jelasnya.
Bagaimanapun, Zahiril menegaskan pemilihan drama bukan bermakna mengorbankan kualiti, sebaliknya disesuaikan dengan cita rasa penonton masa kini.
“Bila buat drama, saya ‘pakai’ apa yang mereka suka.
“Alhamdulillah, engagement tinggi dan maklum balas cepat. Saya tahu ada orang tengok kerja saya,” kongsinya.

Menyentuh soal ramalan kemenangan atau anugerah, Zahiril kekal dengan pendirian tidak melihat lakonan sebagai satu pertandingan.
Malah, bersyukur dengan penerimaan peminat terhadap dirinya pada usia sekarang.
Selain itu, dia juga bersetuju kandungan drama tempatan wajar dipertingkatkan dari segi penceritaan dan pelaksanaan.
“Pelakon tak boleh berlakon untuk anugerah. Never ever approach acting as a competition.
“Ini show business. Kalau ada demand, itu sebab mereka beri.
“Kalau nak ubah content drama kita, mari kita ubah perlahan-lahan. Drama negara lain pun sudah banyak improve.
“Cerita curang boleh dibuat dengan baik, cuma execution itu boleh diperbaiki lagi,” ujarnya.





