Hanya mampu beroperasi selama lima bulan, pelakon Zahnita Wilson berkata dia terpaksa menutup perniagaan kedai bakeri miliknya.
Memetik mStar Online, Zahnita berkata keputusan itu dibuat kerana tidak dapat lagi menanggung kos operasi kedai dan perlu menanggung kos kerugian hampir RM150,000 berikutan jualan merosot sejak Ogos.
BACA: Zahnita Wilson Beli Kereta Baru, Tak Perlu Lagi Sewa
Menurut Zahnita lagi, modal daripada peniagaan pai dilaburkan sepenuhnya untuk membuka kedai namun mengakui berdepan cabaran untuk menguruskan kedai.
“Kedai bakeri saya beroperasi pada Jun lalu dan beberapa bulan saja saya rasa tak mampu lagi. Saya tak pasti lagi bila tarikh akhir kedai saya akan beroperasi.
“Keuntungan perniagaan pai saya tahun lalu saya laburkan untuk bisnes ini. Saya tanggung banyak kerugian lebih RM150,000. Duit itu masih disitu cuma kos operasi saja susah nak tanggung kerana jualan menurun sejak Ogos lalu,” katanya.
Sementara itu, Zahnita tidak menafikan keputusan untuk membuka kedai fizikal mungkin terlalu tergesa-gesa. Malah, dalam video dikongsikan di Instagram, Zahnita berkata dia akan kembali mengusahakan jualan dari rumah,
“Macam mana saya nak uruskan komitmen tinggi jika untung yang kami terima tidak mencukupi. Nak tampung gaji pekerja lagi, modal bahan mentah dan kos operasi, ia bukan satu perkara mudah,” katanya.
Sumber: mStar Online





