Pelakon dan usahawan Zahnita Wilson memaklumkan bahawa dia tidak akan menutup kedai bakeri miliknya yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.
Menerusi satu perkongsian video di Instagram, Zahnita mengakui keputusannya untuk menutuo kedai bakerinya itu adalah tindakan terburu-buru kerana kepenatan.
BACA: Zahnita Tutup Kedai Bakeri, Tanggung Rugi Kos Perniagaan RM150,000
“Selamat pagi, saya nak ambil sedikit masa menjernihkan kembali keadaan atas hantaran semalam.
“Saya jamin kedai saya tidak akan ditutup. Pengurusan dan pasukan saya sedang pastikan operasi perniagaan kami lancar.
“Terima kasih banyak-banyak kepada pengurusan dan pasukan saya. Semuanya disebabkan saya ‘burn out’. Tapi saya tak akan menyerah,” katanya.
Sementara itu, Zahnita berkata dia memerlukan masa berehat untuk mengumpul kembali semangat kembali berniaga.
“Saya mahu mengumpul kembali kekuatan dan tenaga” katanya.
Terdahulu, Zahnita berkata dia terpaksa menutup perniagaan kedai bakeri miliknya kerana tidak dapat lagi menanggung kos operasi kedai dan perlu menanggung kos kerugian hampir RM150,000 selepas jualan merosot sejak Ogos.