Zaidatul (tengah) mahu mengekalkan prestasi terbaik untuk meraih slot ke Sukan SEA Thailand Disember depan. Foto: Agensi
ATLET pecut sensasi negara, Zaidatul Husniah Zulkifli memasang impian untuk terus mengalas cabaran Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025 akhir tahun ini.
Justeru di sebalik hasrat tersebut, pelari berusia 32 tahun itu mahu fokus dalam setiap latihan dan sentiasa menambah baik teknik larian.
“Sudah tentu sasaran saya untuk musim ini adalah melayakkan diri ke Sukan SEA selain melakukan catatan terbaik peribadi tahun ini,” katanya.
Atlet yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu pada pertengahan bulan ini meluahkan rasa syukur apabila rekod kebangsaan 100 meter (m) diiktiraf oleh Olahraga Dunia (WA).
Zaidatul membuat catatan 11.49 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis, Oktober tahun lalu.
Sebelum ini, rekod terpantas dipegang G Shanti menerusi catatan 11.50s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
Di sebalik pencapaian tersebut Zaidatul tekad untuk mengekalkan prestasi cemerlang dalam setiap kejohanan bagi memastikan kedudukannya dalam senarai atlet pelari pecut negara tidak terjejas.
Temasya dwitahunan tersebut dijadualkan berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla bermula 7 hingga 19 Disember depan.