KANGAR: Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus dilantik sebagai pemangku Ketua Polis negeri berkuat kuasa, hari ini.
Pelantikan itu menggantikan Datuk Muhammad Abdul Halim yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
Sebagai rekod, Zaihairul yang berasal dari Simpang Empat, Perlis, pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dan mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk 24 tahun dalam Jabatan Siasatan Jenayah.
Zaihairul ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, Polis Perlis akan menjalin kerjasama erat dengan KDNKA Bukit Aman selepas ini bagi menguatkan lagi kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata, langkah tersebut dilihat mampu membantu dalam menurunkan kadar jenayah rentas sempadan di negeri ini secara lebih berkesan.
“Kontinjen Perlis berhadapan dengan cabaran negeri yang bersempadan dengan negara jiran. Justeru, saya akan bekerjasama rapat dengan pihak KDNKA Bukit Aman, terutamanya bersama bekas Ketua Polis Perlis untuk menguatkan lagi penugasan di sempadan,” katanya.
Beliau juga akan meneruskan legasi kecemerlangan, pembangunan, serta kebajikan yang telah dilaksanakan oleh Muhammad sepanjang lebih dua tahun berkhidmat di kontinjen Perlis sehinggalah Ketua Polis negeri baharu dilantik kelak.
Sementara itu, Muhammad ketika ditemui turut merakamkan penghargaan buat pengamal media di negeri ini yang membantu menyokong dan menaikkan imej PDRM melalui pelbagai liputan berita.
Menurutnya, liputan dibuat oleh media di negeri ini telah memberi impak dan kesedaran awam khususnya berkaitan isu-isu jenayah semasa terutamanya melibatkan kes penipuan dalam talian.-UTUSAN
