SEGELINTIR golongan asnaf hari ini dilihat terlalu selesa dengan bantuan zakat yang diberikan saban bulan sehingga enggan keluar daripada kepompong sebagai penerima agihan.
Mereka menganggap bantuan tersebut sebagai satu bentuk pendapatan tetap, bukan peluang untuk bangkit dan membina semula kehidupan.
Hakikatnya, bantuan zakat ialah satu bentuk sokongan bersifat sementara yang bertujuan untuk memulihkan kehidupan, bukan untuk dijadikan kebergantungan sepanjang hayat.
Pendakwah, Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah menjelaskan, zakat merupakan sistem ekonomi Islam yang sangat baik dan adil dalam membantu golongan memerlukan, namun ia perlu difahami dalam konteks keperluan sebenar.
USTAZ MOHAMAD HADI
“Kalau seseorang itu sihat tubuh badan, masih muda dan berdaya untuk bekerja, maka bantuan itu sepatutnya bersifat sementara sahaja.
“Mungkin bantuan itu hanya untuk beberapa bulan atau tahun, tetapi tidaklah sampai sepanjang hayat,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Haram ambil harta secara batil
Mengulas sikap segelintir asnaf fakir miskin yang kekal berada dalam ‘zon selesa’ menerima bantuan, Ustaz Mohamad Hadi menegaskan, wang zakat bukanlah untuk tujuan bersenang-lenang.
Sebaliknya, zakat sewajarnya menjadi batu loncatan untuk memperbaiki taraf hidup, sehingga seseorang itu tidak lagi tergolong sebagai asnaf, katanya.
“Bantuan itu sepatutnya membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan, khususnya bagi asnaf kategori fakir miskin.
“Jika dia sudah ada pekerjaan tetap, gaji yang mencukupi untuk keperluan hidup, diberikan modal perniagaan dan mampu menjana pendapatan sendiri, maka dia bukan lagi asnaf,” jelasnya.
Lebih membimbangkan apabila ada pihak yang masih memohon dan menerima zakat walaupun mereka sebenarnya tahu mereka sudah tidak layak lagi.
Menurut beliau, perbuatan itu termasuk dalam kategori dosa besar.
“Dari segi hukum, jika seseorang itu tahu dirinya bukan lagi tergolong dalam asnaf tetapi masih menerima zakat, maka hukumnya haram.
“Berdosa besar kerana ia melibatkan pengambilan harta secara batil,” tegas beliau.

JIKA seseorang itu tahu dirinya bukan lagi tergolong dalam asnaf tetapi masih menerima zakat, maka haram hukumnya berbuat demikian. -Foto: CANVA
Walaupun institusi zakat sudah menyediakan program motivasi khusus untuk golongan asnaf, penceramah itu berpandangan bahawa usaha tersebut wajar diperkasakan.
“Saya cadangkan pihak zakat mengadakan program motivasi secara berkala di masjid-masjid sekitar kawasan asnaf, bukan hanya memberi bantuan kewangan semata-mata.
“Kita perlu tanamkan kesedaran dan ilmu agar mereka terdorong untuk berubah,” ujarnya.
Sebagai perbandingan, jelasnya, sejarah Islam pernah mencatatkan keberkesanan sistem zakat yang diamalkan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.
“Ketika itu, zakat diagihkan secara menyeluruh dan adil, sehingga tiada lagi orang yang layak menerima zakat,” katanya.
Tangan memberi lebih mulia
Dalam Islam, Ustaz Mohamad Hadi menjelaskan, kedudukan orang yang memberi lebih mulia daripada mereka yang meminta-minta.

MESKIPUN menerima bantuan zakat, asnaf fakir dan miskin perlu berusaha untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing agar boleh keluar daripada kelompok penerima agihan, seterusnya berupaya membayar zakat. -Foto: CANVA
Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Tangan yang di atas (memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (meminta-minta).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Justeru, prinsip itu wajar diterapkan dalam jiwa setiap Muslim, termasuk dalam kalangan asnaf, agar mereka terdorong untuk menjadi pemberi zakat suatu hari nanti dan memberi manfaat kepada orang lain.
“Orang yang membayar zakat bermakna dia menyempurnakan Rukun Islam. Pahalanya besar, bahkan menjadi kafarah kepada dosa-dosa kecil yang ALLAH SWT hapuskan.
”Apabila kita mengeluarkan zakat, harta kita disuburkan dan diberkati ALLAH. Malah, DIA akan menggantikan apa yang telah kita sumbangkan. Maka, kelebihan itu akan dirasai di dunia dan akhirat,” katanya.
Mengulas sikap segelintir asnaf yang terlalu cerewet dan ‘menuntut’ jenis bantuan tertentu, Ustaz Mohamad Hadi berpandangan bahawa perkara itu tidak sewajarnya berlaku.
Lebih-lebih lagi jika bantuan yang diberikan sebenarnya sesuai dengan keperluan, cuma tidak memenuhi kehendak peribadi mereka.
“Sepatutnya bersyukurlah dengan apa yang diberi,” katanya.
ANEKDOT
Zakat bukan sekadar untuk orang miskin

ZAKAT merupakan sistem ekonomi Islam yang sangat baik dan adil dalam membantu golongan memerlukan, namun ia perlu difahami dalam konteks keperluan sebenar. -Foto: CANVA
– Terdapat lapan kategori asnaf yang layak.
– Dalam lapan kategori itu, hanya dua golongan yang disyaratkan miskin iaitu fakir dan miskin. – Enam lagi kategori asnaf tidak semestinya kurang berkemampuan iaitu hamba sahaya, amil, mualaf, orang berhutang (gharimin), pejuang di jalan ALLAH (fisabilillah) dan musafir (ibnu sabil). – Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan bahawa zakat hendaklah diambil daripada orang kaya dan diberikan kepada golongan miskin, namun maksudnya merujuk kepada asnaf fakir dan miskin sahaja.
– Menurut ulama seperti Dr Abdullah Nashih Ulwan, larangan memberi zakat kepada orang kaya hanya terpakai jika zakat itu diambil daripada bahagian asnaf fakir dan miskin.
– Jika zakat itu diambil daripada kategori lain, maka tidak menjadi kesalahan untuk diberi kepada orang tidak miskin, asal mereka memenuhi syarat.
– Islam tidak menggalakkan budaya meminta-minta dalam kalangan orang yang masih sihat dan mampu bekerja.
– Golongan kaya dibolehkan menerima zakat jika mereka termasuk dalam lima kategori yang disebut dalam hadis iaitu amil, mualaf, pejuang fisabilillah, orang berhutang dan orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya, kemudian dia menghadiahkan kembali kepada orang kaya itu.
– Ulama Mazhab Syafie dan Hambali membenarkannya kerana mereka layak atas dasar maslahat, bukan kemiskinan.
*Sumber: https://www.zakatselangor.com.my/terkini/zakat-bukan-untuk-orang-miskin-sahaja-2/