Sedangkan zakat harta termasuk dalam tuntutan Rukun Islam menunaikan zakat dan ia wajib dibayar seperti zakat fitrah.
Penolong Setiausaha Promosi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Ustaz Muhamad Syarif Omer mendedahkan, terdapat ramai orang yang hanya mengetahui tentang zakat harta ketika usia mereka sudah lanjut.
“Ramai yang tahu tentang zakat ini (hanya) zakat fitrah sahaja, (dan dibayar) sekali setahun.
“Kita jumpa ramai pembayar zakat baharu, walaupun usia sudah 50 atau 60-an, tapi mereka baru tahu tentang zakat pendapatan dan zakat perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Podcast POV Sinar Islam Plus bertajuk ‘Zakat: Antara Ibadah, Hak Asnaf dan Sistem Ekonomi Islam’ yang dibawakan khas oleh MAIDAM dan disiarkan menerusi media sosial Sinar Islam Plus serta Sinar Harian.
Jelas Ustaz Muhamad Syarif, kesedaran zakat adalah tanggungjawab semua pihak termasuk diri sendiri, bukan hanya pihak berwajib.
USTAZ MUHAMAD SYARIF/Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
“Carilah medan ilmu atau mana-mana ustaz yang boleh berkongsi tentang zakat pendapatan, zakat perniagaan dan sebagainya sebab perkara ini wajib,” ungkapnya.
Platform digital mudahkan pembayaran
Dalam usaha meningkatkan kefahaman dan penyertaan umat Islam menunaikan zakat, MAIDAM menggerakkan dua pendekatan utama iaitu secara bersemuka dan dalam talian (online).
Ujar Ustaz Muhamad Syarif, pendekatan fizikal seperti program di pusat beli-belah dan sesi taklimat akan diteruskan pada hujung tahun ini memandangkan ia mendapat sambutan hangat.
“Pada tahun lalu, kami mengadakan program di sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu dan tahun sebelumnya pula di pusat beli-belah, juga di ibu negeri.
“Ramai orang suka kerana program seperti itu memudahkan mereka untuk membayar zakat. Jika ada soalan atau tidak tahu kiraan zakat, mereka boleh terus tanya pegawai,” katanya.
Bagi platform digital pula, MAIDAM menyediakan portal ezakat.maidam.gov.my dan e-Amil yang menunjukkan peningkatan jumlah kutipan dan penerimaan positif daripada masyarakat.

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MAIDAM, Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan (tiga dari kanan) dalam salah satu program bersama penerima zakat baru-baru ini.
“Sebagai contoh, dari tahun 2023 hingga 2024, berlaku peningkatan pembayaran zakat melalui platform eZakat Online MAIDAM sebanyak 20 peratus.
“Pada tahun lalu juga, kita ada inisiatif e-Amil MAIDAM dengan medium pembayaran menggunakan kod QR. Alhamdulillah, kutipan zakat meningkat daripada RM1 juta kepada RM1.7 juta melaluinya,” katanya.
Beza zakat dan sedekah
Terdapat segelintir orang keliru tentang zakat dan sedekah, sedangkan kedua-duanya berbeza dari sudut hukum dan penerima.
Memberi pencerahan tentang perkara itu, beliau menerangkan, sedekah adalah infak yang tatawwu’ (sukarela), manakala zakat ialah sedekah yang wajib apabila cukup syarat dan rukun.
“Dari sudut hukum, sedekah itu sunat, manakala zakat pula wajib,” terangnya.
Beliau turut menekankan bahawa zakat hanya boleh diberikan kepada golongan yang termasuk dalam kategori lapan asnaf sebagaimana dinyatakan dalam ayat ke-60 surah at-Taubah, antaranya fakir dan miskin, bukan semata-mata status seperti anak yatim atau ibu tunggal.
“Tak boleh (beri zakat) kepada anak yatim atau ibu tunggal melainkan mereka fakir atau miskin kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak miskin,” ungkapnya.

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MAIDAM, Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan (berdiri, tengah) bersama penerima zakat dalam program anjuran MAIDAM baru-baru ini.
Mengulas persoalan tentang hak milik zakat, Ustaz Muhamad Syarif menjelaskan, harta yang telah dizakatkan tidak lagi menjadi milik pembayar.
“Selepas kita keluarkan zakat, duit itu adalah hak milik asnaf,” ujar beliau.
MAIDAM turut menguruskan zakat sebagai alat pembangunan ekonomi umat Islam dengan menumpukan agihan kepada empat sektor utama iaitu pendidikan, ekonomi, sosial dan kemanusiaan serta mualaf, ungkapnya.
“Untuk sektor ekonomi, kita bantu asnaf dengan bantuan modal, bukan saja kepada mereka tapi juga anak asnaf.
“Kita buat ‘pelan keluar’ supaya dia tidak mengikuti jejak langkah asnaf dan akhirnya menjadi pembayar zakat,” katanya.
Selain itu, pembayar zakat boleh menyemak agihan dana secara langsung melalui https://ezakat.maidam.gov.my/. Menerusi konsep wakalah zakat, MAIDAM turut memberi ruang kepada pembayar zakat untuk mengagihkan sendiri sebahagian zakat mereka kepada asnaf secara terus, tertakluk kepada syarat dan pemantauan.
“Majikan juga boleh mohon wakalah bagi menjalankan program tanggungjawab korporat sosial (CSR) atau menyantuni anak-anak yatim yang fakir miskin, tetapi kena buat laporan (untuk) pastikan duit itu betul-betul sampai kepada asnaf,” katanya.