KEZALIMAN merupakan satu perbuatan maksiat terhadap ALLAH SWT dan ia ditolak dalam Islam.
Sikap zalim berlawanan dengan adil kerana mereka tidak meletakkan sesuatu itu bukan pada tempatnya.
Orang yang cenderung kepada kezaliman bukan sahaja menjejaskan kehidupan orang lain, tetapi dia juga membawa kesengsaraan kepada masyarakat di sekelilingnya.
“Dalam Islam, sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan sama ada terhadap manusia, haiwan, diri sendiri atau makhluk lain di dunia ini akan dibalas dengan azab yang berat di akhirat kelak,” ucap khatib pada permulaan khutbah Jumaat.
Khutbah bertajuk ‘Kezaliman yang mengakibatkan penyesalan’ itu disediakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan dibacakan khatib di seluruh negeri tersebut minggu lalu.
Menurut JAINJ, balasan kezaliman tersebut dikhabarkan ALLAH SWT menerusi firman-NYA dalam ayat ke-41 dan 42 surah asy-Syura:
“Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah dizalimi, maka tidak ada alasan (untuk menyalahkan mereka). Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa alasan yang benar, maka mereka akan mendapat seksaan yang pedih.”
Anggap remeh perbuatan zalim
Ujar khatib, sejarah umat terdahulu menyaksikan banyak kaum yang zalim dihancurkan ALLAH SWT dengan sebab perbuatan mereka yang melampaui batasan.
MEMINTA kepada selain ALLAH merupakan perbuatan syirik. Foto CANVA
“Pada hari ini manusia sangat mengambil ringan tentang kezaliman yang dilakukan oleh tangannya sendiri, sehingga apa yang dilakukannya itu dianggap biasa dan tidak bertentangan dengan syariat.
“Mereka tidak sedar bahawa perbuatan yang dilakukan itu adalah salah satu kezaliman terhadap diri sendiri,” katanya.
Antara perbuatan zalim yang sering berlaku dalam kehidupan tanpa kita sedari ialah:
1 – Perbuatan mensyirikkan ALLAH SWT
Syirik bermaksud menyekutukan atau menyamakan ALLAH SWT dengan makhluk atau sesuatu yang lain dalam keyakinan hati, ujar khatib.
“ALLAH SWT menggambarkan perbuatan syirik sebagai sebahagian daripada kezaliman yang besar jika dilakukan oleh seseorang.
“Firman-NYA dalam ayat ke-13 surah Lukman: ‘Sesungguhnya perbuatan syirik merupakan suatu kezaliman yang besar’,” katanya.
Menurut JAINJ, para ulama membahagikan perbuatan syirik itu secara umumnya kepada dua bahagian iaitu syirik terang-terangan (jali) seperti menyembah berhala dan syirik tersembunyi (khafi) seperti riak, ujub, takabbur dan penyakit hati yang lain.
“Kedua-duanya merupakan contoh maksiat terhadap ALLAH yang sering dilakukan manusia dan tanpa kita sedari ia merupakan satu bentuk kezaliman terhadap diri sendiri,” jelasnya.
2 – Orang yang memandang kecil terhadap amanah
Ujar khatib, kezaliman juga boleh berlaku apabila seseorang yang diamanahkan terhadap sesuatu urusan, namun dia leka dan tidak menunaikan amanah tersebut.

RAMAI tidak menyedari mereka berlaku zalim kepada orang lain dengan perbuatan dan kata-katanya. Foto CANVA
“Sifat tidak amanah ini akan mendorong manusia untuk berlaku zalim terhadap orang lain.
“Sebagai contoh perbuatan mengambil hak orang lain, menipu dalam urusan harta, melanggar hak keluarga, hak jiran atau hak orang yang bekerja dengannya.
“Begitu juga dengan mereka yang mengabaikan tanggungjawab, sama ada seorang anak terhadap kedua-dua orang tuanya, seorang bapa terhadap anak-anak, suami terhadap isterinya, serta seorang ketua terhadap orang bawahannya,” hurainya.
3 – Melakukan kezaliman terhadap orang lain melalui perkataan atau perbuatan
JAINJ menjelaskan, perkara ini sangat banyak berlaku pada hari ini kerana ramai manusia yang memandang remeh berkaitan dengan urusan sesama manusia.
“Menyakiti orang lain sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan adalah perbuatan mungkar yang perlu dihindari.
“Golongan itu digelar oleh Rasulullah SAW sebagai golongan yang muflis di akhirat,” ujarnya.
Begitulah gambaran keadaan di Akhirat nanti terhadap orang yang melakukan kezaliman terhadap orang lain.
Tambahnya, orang yang dizalimi akan menuntut semula setiap kezaliman yang dilakukan ke atasnya.

DIDIKLAH anak-anak untuk tidak menzalimi diri sendiri dan orang lain. Foto CANVA
“Kezaliman yang berpunca daripada lidah merupakan antara kezaliman yang paling besar.
“Ini termasuklah perbuatan memaki-hamun, mencela, memfitnah, menuduh orang lain dengan tuduhan jahat, mengumpat dan sebagainya,” ujarnya.
Sebagai kesimpulan, khatib menyeru kepada jemaah agar jangan sekali-kali membiarkan diri tergolong dalam kalangan mereka yang bersekongkol dengan sebarang bentuk kezaliman.