Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri terharu apabila dirinya tercalon bersama usahawan lain dalam kategori Seller Terpaling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke- 37.
Memetik BH Online, Aliff beranggapan dirinya kerdil berbanding finalis lain yang dilihat hebat-hebat belaka dan dia bukan mahu menjadi artis.
BACA: Ammar Ahyan Dapat Porsche Untuk Ke Kolej, Aliff Syukri Nasihat Jangan Riak
“Secara jujurnya, saya terkejut dicalonkan. Saya rasa macam artis sebab yang tersenarai semuanya artis popular. jadi, saya fikir, saya tidak layak. Apatah lagi usahawan yang dicalonkan semua hebat-hebat.
“Saya di sini pun untuk berniaga sahaja sebenarnya. Bukanlah untuk popular hendak jadi artis. Namun, saya hargai usaha ABPBH kerana menamakan saya.
“Alhamdulillah, tetapi tidaklah kami mengharapkan lebih. Kalau menang, rezeki. Kalau tidak menang, tidak mengapa,” katanya.
Turut tercalon bersama anaknya, Ammar Ahyan, Aliff berkata dia hanya menumpang rezeki anak sulungnya itu.
“Zaman saya sudah berlalu rasanya. Tetapi, saya hargai orang masih tidak lupa kepada saya. Saya fikir sekarang anak saya lagi popular daripada saya. Saya di sini pun sekadar menumpang dia. Apa-apa pun, Alhamdulillah kami di sini bersaing secara sihat,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff berkata dia kini tidak lagi terkejar-kejar populariti apatah lagi di usia sekarang dan hanya mahu mencari rezeki untuk anak-anak sahaja.
“Dahulu saya mengaku hendak jadi artis. Tetapi, sekarang, saya sudah tua dan sudah tiada niat itu. Sekarang, saya betul-betul hendak cari rezeki untuk anak-anak dan membesarkan mereka.
“Hendak buat gimik boleh, tetapi, kena dengan cara yang betul. Rakyat Malaysia sekarang suka dan sokong mereka yang baik dan beradab,” katanya.
Sumber: BH Online






