28 Ogos 2024 09:10pmMasa membaca: 4 minit
PEMAIN sepak takraw negara, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican mahu membuktikan dia bukan lagi tekong ‘joker’ apabila diberi tugas penting di Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai, Korat pada September ini.
Pemain berusia 23 tahun tersebut perlu menggalas tanggungjawab penting itu apabila tekong utama negara, Muhammad Syahir Rosdi tidak dapat beraksi susulan kecederaan hamstring kaki kanan.
“Insya-ALLAH saya akan buktikan, sebenarnya siapa sahaja diturunkan akan memberikan yang terbaik.
“Saya rasa sudah pun bersedia (memikul tanggungjawab ganti Syahir),” katanya kepada media selepas sidang media Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Muhammad Zarif mengakui berdepan tekanan menggantikan pemain lebih senior dan berpengalaman itu namun tekad memberikan saingan sengit pada kejohanan berprestij tersebut yang bakal berlangsung 8 hingga 20 September ini.
“Setakat ini segala persiapan kami mencukupi, sudah buat pelbagai latihan termasuk dari kecergasan dan psikologi hasil bantuan Institut Sukan Negara. Kem latihan di Ratchaburi (Thailand) juga melengkapkan persiapan kami,” katanya.
Malaysia disenaraikan dalam Kumpulan C acara berpasukan bersama China dan Laos selain diletakkan berdepan India, China, Singapura dan Brunei bagi regu.
OR