am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Zarina Anjoulie, 37, mengakui dia membuat pembedahan plastik di bahagian hidung kerana mendapat tajaan dan diminta mempromosikan prosedur itu di media sosial.
“Ya, saya baru buat hidung dan tiada apa yang saya nak sorok.
“Saya dibayar untuk melakukan prosedur itu dan sudah menjadi tugas untuk saya buat video mengenainya di media sosial,” kata Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul.
Zarina berkata, dia juga menggunakan platform sebagai pempengaruh untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya berjumpa dengan doktor yang betul bagi melakukan prosedur sedemikian.
Zarina ditemui pada majlis pelancaran kolaborasi eksklusif Noir X RO di Ampang, di sini, malam tadi.
Zarina yang juga mesra disapa Anju berkata, ramai orang yang menjadi mangsa ‘scammers’ yang membabitkan klinik dan pusat rawatan kecantikan ketika ini.
“Saya hanya mahu kongsi pengalaman menjalani prosedur pembedahan plastik di luar negara itu kepada orang ramai.
“Saya tak kisah dengan kecaman kerana orang akan kecam kalau artis itu tidak mengaku. Bila saya mengaku buat hidung pun orang tetap kecam juga.
“Saya mohon maaf kalau ada orang yang tidak suka dan anggap saya mahu mengajak orang buat dosa pula kongsi video terbabit di media sosial,” katanya.
Ditanya sama ada dia melakukan prosedur itu kerana tidak puas hati dengan hidung sedia ada, Anju menafikannya.
“Sebenarnya, saya gembira dengan hidung sedia ada tetapi saya lakukan prosedur itu sebab dibayar. Lagi pun, perempuan memang tidak pernah puas dengan apa yang dia ada.
“Saya juga berasa ia bukan diri saya yang sebenar selepas prosedur hidung itu dan mungkin saya akan keluarkan implan di hidung saya ini pada hujung tahun nanti,” katanya.
Terdahulu, Zarina memuat naik satu hantaran menyatakan rasa syukurnya kerana selamat menjalani pembedahan di bahagian hidung dan video itu tular di TikTok sekali gus mendapat kecaman daripada warganet.
Menerusi beberapa hantaran video di Instagram, Zarina berkongsi mengenai keadaan wajahnya ketika sebelum dan selepas melakukan pembedahan terbabit yang dipercayai dilakukan di Vietnam sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd