Zehra Zambri dedah berdepan fasa kritikal, rayu peluang kerja

Zehra Zambri dedah berdepan fasa kritikal, rayu peluang kerja


norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Zehra Zambri, 38, mendedahkan situasi dirinya ketika ini berdepan fasa kritikal apabila sangat memerlukan peluang pekerjaan untuk kelangsungan hidup termasuk membesarkan anak.

Terdahulu, Zehra membuat luahan itu menerusi hantaran dimuatnaik di akaun Threads miliknya yang memaklumkan bahawa dia ingin bekerja semula serta bergiat aktif dalam industri seni suara.

“Saya berada di fasa yang sangat-sangat kritikal. Saya harus memulakan hidup saya dari bawah semula. Anak perlu saya nafkahi. Perkahwinan lalu telah buat saya kehilangan banyak benda. Termasuk aspek kewangan saya sendiri yang telah dicabuli.

“Saya ingin bekerja semula..jika ada sesiapa perlukan khidmat saya untuk persembahan pentas boleh saja hubungi saya. Terakhir saya sebagai finalis GV11 (Gegar Vaganza Ke-11) lalu. Dari 2005 saya telah bergiat dalam industri seni suara,” tulisnya pada hantaran dibuat, hari ini.

Menurut Zehra lagi, dia juga mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang penyiaran kerana pernah berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai wartawan penyiaran, pembaca berita dan pengacara program bual bicara.

“Selain menyanyi, pengalaman saya terdahulu juga dalam bidang penyiaran. Sembilan tahun saya berkhidmat di RTM sebagai wartawan penyiaran, pengacara Selamat Pagi Malaysia dan juga pembaca berita TV.

“Jika ada apa-apa peluang yang bersesuaian dengan bakat dan pengalaman saya ini mohon dipanjangkan,” katanya pada hantaran di Threads itu umpama paparan resume untuk memohon pekerjaan.

Dalam ruangan komen, rata-rata netizen berharap Zehra terus tabah dan turut mendoakannya agar memperoleh peluang pekerjaan demi mendapatkan pendapatan untuk menyara kehidupan.

Pada 20 Ogos lalu, Zehra sah bercerai talak satu dengan Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi Selangor.

Terdahulu, Zehra memfailkan permohonan cerai terhadap Nur Mohd Iqwan pada 7 Mac lalu kerana tiada persefahaman dengan lima tuntutan dibuat antaranya, dakwaan berkaitan nafkah dan berlaku keganasan dalam rumah tangga.

Zehra dan Nur Mohd Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela, 3.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top