LEE ZII JIA kembali menjejakkan kaki ke ‘gelanggang istimewa’ Seluruh England di Utilita Arena, Birmingham, dengan misi menebus kekecewaan dan membuktikan kebangkitan selepas melalui tempoh sukar sebelum ini.
Pemain perseorangan lelaki negara itu akan memulakan kempen di kejohanan Super 1000 ini dengan menentang bintang Hong Kong, Ng Ka Long, di pusingan pertama.
Kembalinya Zii Jia ke kejuaraan berprestij itu penuh dengan harapan dan tanda tanya, terutamanya selepas penampilan sulungnya di Orleans Masters berakhir dengan kekalahan tahun ini.
Beliau tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen, 21-23, 7-21, dalam perlawanan suku akhir yang menyaksikan Zii Jia bergelut mencari rentak permainannya.
Kekalahan itu tidak dinafikan meninggalkan kesan, apatah lagi Zii Jia baharu sahaja pulih daripada kecederaan buku lali yang dialaminya pada Siri Jelajah Dunia Akhir, Disember lalu.
Namun, Zii Jia memilih untuk tidak meratapi kekalahan di bumi Perancis apabila melihat kejuaraan Super 300 di Palais des Sports itu sebagai medan pemanas badan dan ujian kecergasan sebelum menghadapi cabaran lebih besar di Birmingham.
“Kembali selepas kecederaan, saya perlukan pemanas badan sebelum ke Seluruh England,” ujarnya ketika di bumi Perancis sebelum ini.
Kini, fokus Zii Jia sepenuhnya terarah kepada kejuaraan badminton berprestij itu yang bukan sekadar pentas untuk memburu gelaran, tetapi juga medan untuk membuktikan bahawa pemain kelahiran Alor Setar, Kedah, telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan untuk kembali ke prestasi terbaiknya.
“Kembali ke gelanggang teristimewa Seluruh England 2025,” titip pemain berusia 26 tahun itu, yang juga bekas juara edisi 2021, di laman sosialnya.