Lakaran misteri dikongsikan Zii Jia di laman Instagramnya.
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, sekali lagi mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat badminton tanah air selepas memuat naik sekeping gambar lakaran misteri di laman media sosial miliknya, pada Rabu.
Tindakan pemain berusia 27 tahun itu menarik perhatian ramai kerana hadir hanya beberapa hari selepas beliau disahkan menarik diri daripada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 yang dijadual berlangsung di Tokyo dari 15 hingga 20 Julai ini.
Ini bukan kali pertama Zii Jia membuat hantaran sedemikian apabila pada 4 Julai lalu, bekas juara Seluruh England 2021 itu turut memuat naik beberapa siri lakaran gambar yang turut mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan komuniti badminton tempatan mengenai mesej tersirat ingin disampaikan.

Lakaran dikongsi Zii Jia pada 4 Julai lalu.
Lebih menimbulkan persoalan, hantaran itu hadir daripada seorang atlet yang baru sahaja menghadiahkan negara pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024, sekaligus menjadikan prestasi serta tindakannya menjadi perhatian umum.
Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum itu dilaporkan memberikan penjelasan bahawa Zii Jia berada dalam keadaan baik setelah menghubungi kem pemain berkenaan, Team LZJ, bagi mendapatkan kepastian berhubung tindakan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah berkenaan.