Zii Jia, Nor Farah Ain antara calon Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2024

Zii Jia, Nor Farah Ain antara calon Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2024


Zii Jia dan Nor Farah Ain

TEKA-TEKI atlet yang bakal dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2024 sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) terjawab pada Selasa, sambil menyaksikan pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia mendahului senarai.

Zii Jia yang meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2024 di Paris bakal dicabar beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga memenangi warna pingat yang sama, selain calon lain ialah Wong Weng Soon (wushu), Mohd Aniq Kasdan (angkat berat) dan Abdul Latif Maxzakir (pencak silat).

Bagi Olahragawati pula menyaksikan calon pilihan iaitu juara dunia, Nor Farah Ain Abdullah yang mengungguli Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan di Guernsey pada April 2024.

Malah tidak kurang hebat, pemain boling, Sin Li Jane yang melakar sejarah apabila menjadi atlet Asia pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan dalam Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat pada Ogos, selain tiga calon lain ialah Tan Cheong Min (wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan Nor Farah Mazlan (pencak silat).

ASN 2024 juga turut mengiktiraf atlet paralimpik yang menyenarai pendek lima atlet terbaik

Dalam kategori Olahragawan Paralimpik kebangsaan, atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin menerajui pencalonan, diikuti Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga). Turut berada dalam senarai ialah Eddy Bernard (para olahraga) dan Cheah Like Hou (para badminton).

Lima atlet wanita untuk gelaran Olahragawati Paralimpik pula ialah Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Hasmunirah Malik (para lawn bowls) dan Noor Imanina Idris (para olahraga).

Setiap pemenang bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000.

Tujuh anugerah lain turut disediakan termasuk pasukan lelaki dan wanita kebangsaan, jurulatih lelaki dan wanita kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.



Source link

OR

Scroll to Top