Zii Jia perlu jujur teruskan karier atau bersara

Zii Jia perlu jujur teruskan karier atau bersara


PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia disaran supaya bersikap jujur terhadap diri sendiri dalam menentukan hala tuju kariernya sama ada mahu terus berjuang di pentas dunia atau mengambil keputusan untuk bersara.

Penganalisis sukan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Mohd Sadek Mustaffa menegaskan, situasi yang melanda pemain berusia 27 tahun itu kini memerlukan penilaian serius selepas berulang kali dihantui masalah kecederaan.

“Dia perlu menjalani pemeriksaan menyeluruh tahap kecederaan. Jika boleh dipulihkan, rawatan mesti dilakukan secara sistematik dan dia juga memerlukan jurulatih yang mampu memperbaiki gaya permainan serta kecergasan fizikal.

“Namun, sekiranya kecederaan itu tidak lagi menyebelahi kariernya, dia kena jujur untuk buat pilihan sama ada teruskan karier atau bersara.

“Bukan itu sahaja, dia masih ada jalan lain selepas bersara seperti menjadi jurulatih, pengulas, duta produk sukan atau apa sahaja bidang yang sesuai dengan keinginannya,” katanya kepada Sukan Sinar.

Zii Jia sekali lagi berdepan badi di pusingan pertama apabila terpaksa menarik diri di set penentuan ketika menentang wakil Taiwan, Lin Chun Yi di pusingan pertama Masters China Super 750 di Shenzhen Arena.

Bermula cemerlang dengan kemenangan 21-17 di set pertama, pemain ranking ke-42 dunia itu tewas tipis 21-23 di set kedua sebelum kecederaan belakang memaksa dia menarik diri ketika ketinggalan 6-14, sekali gus memberi laluan mudah kepada Chun Yi mara ke pusingan kedua.

Insiden itu menyusuli kekecewaan minggu lalu apabila dia tewas di pusingan pertama Terbuka Hong Kong kepada rakan senegara, Leong Jun Hao, 16-21, 16-21.

Kegagalan berterusan Zii Jia ini mengingatkan kembali kisah bintang Jepun, Kento Momota yang mengumumkan persaraan antarabangsa pada usia 29 tahun, April tahun lalu.

Momota pernah digelar raja badminton dunia selepas meraih 11 kejuaraan pada 2019, namun kehidupannya berubah selepas terbabit kemalangan jalan raya di Malaysia pada Januari 2020 yang meragut nyawa pemandunya.

Selepas pembedahan mata, Momota bergelut dengan masalah penglihatan berganda dan gagal mengembalikan prestasi terbaik sehingga akhirnya mengundur diri daripada pasukan kebangsaan Jepun sejurus tamat Piala Thomas 2024 di China dan kini difahamkan hanya beraksi di pentas domestik Jepun.

 

Ringkasan AI

  • Lee Zii Jia disaran jujur dalam menentukan hala tuju kariernya
  • Memerlukan penilaian serius atas masalah kecederaan yang berulang
  • Perlu pemeriksaan menyeluruh dan rawatan sistematis jika kecederaan boleh dipulihkan
  • Memiliki peluang dalam bidang lain seperti jurulatih atau pengulas pasca bersara
  • Kegagalan berterusan mengingatkan pada bintang Jepun, Kento Momota yang bersara akibat masalah kesihatan



Source link

OR

Scroll to Top