Zii Jia tarik diri Terbuka Denmark

Zii Jia tarik diri Terbuka Denmark



saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri daripada Terbuka Denmark yang bermula hari ini selepas mengalami kecederaan buku lali semasa terkandas di suku akhir Terbuka Artik, minggu lalu.

Justeru, impian peminat negara untuk menyaksikan jaguh berusia 26 tahun itu untuk mara ke final sekali gus mengulangi pencapaian musim lalu tidak kesampaian.

TeamLJZ yang mewakili pemain itu dalam satu kenyataan berkata, Zii Jia sudah tiba Odense dan menjalani latihan namun pergerakannya tidak selesa akibat kecederaan itu.

“Selepas tiba di Odense pada hari Ahad, harapan dan perancangan masih lagi untuk Lee Zi Jia beraksi dalam Terbuka Denmark walaupun beliau mengalami kecederaan buku lali semasa peringkat suku akhir Terbuka Artik.

“Zi Jia turun ke gelanggang hari ini (semalam) tetapi rasa tidak selesa di bahagian buku lali menghalangnya daripada bergerak pada kualiti tahap perlawanan sebenar.

“Selepas melakukan pertimbangan lebih lanjut, dengan hati yang berat, Zi Jia terpaksa menarik diri daripada edisi Terbuka Denmark tahun ini,” kata kenyataan itu.

Minggu lalu, pemain ranking ke-14 dunia dari Jepun, Koki Watanabe menyekat kemaraan Zii Jia untuk mempertahankan gelaran di Terbuka Artik.

Zii Jia yang berada di ranking keempat dunia, tewas 15-21, 21-13, 12-21 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama satu jam dan enam minit di Vantaa, Finland.

Musim lalu, hasrat Zii Jia untuk merangkul gelaran juara berganda selepas mengungguli Terbuka Artik tidak kesampaian apabila kecundang 12-21, 6-21 di tangan pemain China, Weng Hong Yang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top