[DIKEMAS KINI] PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menggunakan sepenuh pengalaman untuk menafikan kebangkitan rakan senegara, Justin Hoh apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Jepun di Kumamoto pada Rabu.
Zii Jia pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 bermula garang apabila menang 21-16 dalam set pertama perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto Prefectural tersebut.
Bagaimanapun Justin yang menghantar pulang dua wakil Korea Selatan, Jyeon Hyeok-jin (21-15, 21-15) dan Cho Geon-yeop (21-15, 20-22, 21-17 ) pada pusingan kelayakan pertama dan kedua, bangkit menyamakan kedudukan 21-12 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga, kedua-dua pemain menampilkan corak permainan menghiburkan apabila saling berkejar mata yang menyaksikan beberapa kesilapan mudah Justin membolehkan Zii Jia menang 21-17 dalam aksi 62 minit.
Soon Huat-Shevon Lai
Sementara itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menampilkan semangat melawan tinggi ketika menewaskan wakil tuan rumah, Yuta Watanabe-Maya Taguchi dalam aksi tiga set.
Soon Huat-Shevon Lai tewas set pertama 18-21 bangkit menang dua set berikutnya 21-12, 21-14 dalam masa 54 minit untuk menempah pertemuan berdepan gandingan 47 dunia dari China, Zhou Zhi Hang- Yang Jia Yi.
Sementara itu, Leong Jun Hao juga mengikuti jejak langkah Zii Jia apabila bangkit menjinakkan pemain India, Lakshya Sen, 20-22, 21-17, 21-16 dalam masa 74 minit.
Beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, juga mara selepas menewaskan wakil tuan rumah Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-18,21-19 untuk berdepan beregu Indonesia, Rinoc Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.