mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii jia terpaksa akur langkahnya di Terbuka Artik terhenti di peringkat suku akhir selepas kecundang di tangan wakil Jepun sebentar tadi.
Zii Jia yang juga pemain keempat dunia tewas kepada kehebatan wakil Jepun Koki Watanabe 15-21,21-13 dan 12-21 dalam tempoh 66 minit pada perlawanan yang berlangsung di Vantaan Energia Areena.
Walaupun wakil negara itu cuba bangkit di set kedua dengan memperagakan aksi mantap namun momentum itu gagal diteruskan pada set ketiga.
Pada set penentuan kesilapan mudah yang dilakukan Zii Jia dihukum apabila memberi kelebihan kepada Watanabe untuk mendahului perlawanan sebelum mengesahkan tiket ke separuh akhir.
Mengikut rekod, keputusan itu menyaksikan Zii Jia tumpas semua dalam tiga pertemuan menentang Watanabe.
Terdahulu, beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing di suku akhir.
Nur Izzuddin-Sze Fei menewaskan lawan berpengalaman dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 23-21, 19-21, 22-20 dalam tempoh satu jam 13 minit.
Soon Huat-Shevon pula menewaskan gandingan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dengan keputusan straight set 21-19, 21-15 dalam tempoh 40 minit untuk mengatur pertemuan dengan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di separuh akhir nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd