Zizie Ezette Sebak, Dedah Pesanan Terakhir Bung Moktar

Zizie Ezette Sebak, Dedah Pesanan Terakhir Bung Moktar


Pelakon, Datin Seri Zizie Ezette meruntun hati ramai apabila berkongsi luahan penuh emosi mengenang pemergian suami tersayang, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggalkan dunia awal pagi Jumaat lalu.

Menerusi hantaran di Instagram Story (IGs), Zizie yang masih dalam suasana berkabung meluahkan rasa kehilangan yang sukar digambarkan, selain mengimbas kembali perjalanan rumah tangga mereka yang sarat kenangan selama 16 tahun.

“Terima kasih untuk 16 tahun ini. Abang bekerja terlalu keras demi semua orang dan sentiasa beri yang terbaik. Abang berjuang untuk orang sekeliling, bukan untuk diri sendiri. Abang tidak pernah pentingkan diri,” tulisnya.

Zizie turut berkongsi bagaimana sifat arwah yang pemurah dan berhati lembut kini semakin terserlah apabila ramai tampil menceritakan kebaikan yang pernah dilakukan pemimpin itu secara diam-diam.

“Bila abang sudah tiada, barulah orang mula buka cerita tentang kebaikan, pengorbanan dan amal abang. Saya ingat pesanan abang: ‘Jika tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu tahu’. Sedekah biar tersembunyi, biar hanya Allah yang tahu,” kongsi Zizie.

Dalam luahan penuh syahdu itu, Zizie berkata arwah suaminya tidak pernah mencari perhatian atau pengiktirafan atas amal kebajikan dilakukan, malah semuanya dibuat dari hati.

“Terima kasih untuk segala ilmu dan hikmah yang abang tinggalkan. Saya akan simpan, hargai dan wariskan kepada anak-anak supaya sebahagian daripada abang sentiasa hidup dalam diri kami. Semoga Allah mengampuni, merahmati dan menempatkan abang dalam syurga-Nya,” tulisnya lagi.

Datuk Seri Bung Moktar, Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi, Jumaat, 5 Disember di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Artikel Berkaitan: Bung Moktar Radin Meninggal Dunia, Zizie Ezette Kongsi Khabar Duka Di IGS



Source link

OR

Scroll to Top