Zizie Izette terkejut terima wang penghargaan RM2.8 juta, akui tak maklum kepada suami

Zizie Izette terkejut terima wang penghargaan RM2.8 juta, akui tak maklum kepada suami


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang membela diri daripada tuduhan bersubahat dalam kes rasuah membabitkan kelulusan FELCRA Berhad bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah, menegaskan wang pengenalan RM2.8 juta yang diterimanya adalah sah dan diberikan secara sukarela kepadanya.

Selebriti yang juga bekas pelakon itu menyatakan beliau terkejut apabila mengetahui akan menerima wang pengenalan berkenaan kerana memperkenalkan FELCRA kepada perunding unit amanah Public Mutual.

Zizie Izette yang turut menafikan bahawa beliau bersubahat dengan suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam sebarang salah laku, mengakui tidak memaklumkan kepada suaminya mengenai wang pengenalan itu.

“Ia kerana kami menguruskan hal ehwal kewangan berasingan, dan suami saya tidak terbabit dalam urusan perniagaan ataupun pelaburan saya.

“Saya menguruskan perkara itu sendiri. Oleh kerana bayaran pengenalan ini berkaitan dengan urusan peribadi saya, saya rasa tidak perlu untuk memaklumkan kepadanya.

“Saya tidak memberikan mana-mana wang daripada jumlah itu kepada suami saya, dan saya juga tidak menggunakan sebarang wang itu untuk suami saya.

“Saya tidak memaklumkan perkara ini kepada beliau dan saya sama sekali tidak bersubahat dengan beliau dalam sebarang salah laku,” katanya.

Zizie Izette turut menolak cadangan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, bahawa kenyataan beliau tidak memaklumkan suaminya adalah rekaan semata-mata, kerana menurut Chin How suami isteri berkongsi segala-galanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan balas Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamri bahawa beliau tidak sedikit pun menolak pemberian itu, Zizie Izette berkata, sebelum menerimanya, beliau sudah bertanya berkali-kali mengenai sumbernya.

Mohamad Fadhly: Setuju saya katakan, bahawa semasa anda terima panggilan telefon untuk menerima wang RM2.8 juta ini, tiada sikit pun anda menolak pemberian wang ini.

Zizie Izette: Sebelum saya terima, saya sudah bertanya berkali kali, dari mana, macam mana, duit dari mana, setelah saya fikir semua, saya tidak menolak.

Mohamad Fadhly: Ini kali pertama di mahkamah anda katakan anda tidak menolak pemberian wang dari Norhaili (ejen Unit Amanah Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar)

Zizie Izette: Selepas saya diyakinkan Norhaili, ya, saya tidak menolak wang itu.

Mohamad Fadhly: Walaupun anda tahu, wang itu adalah hasil daripada FELCRA Bhd dan Norhaili.

Zizie Izette: Selepas diambil kira segalanya, saya setuju (untuk menerima).

Mohamad Fadhly: Jadi anda tahu itu wang suapan dan bukan wang pengenalan?

Zizie Izette: Saya tidak setuju.

Disoal lanjut mengapa perlu menerima wang pengenalan jika hendak memperkenalkan Norhaili yang juga rakan merangkap penasihat kewangannya, kepada suaminya, Zizie Izette menjawab, “Saya minta maaf itu kena tanya Elly sebab dia beri kepada saya, saya tidak pernah minta… saya tidak boleh nak jawab, minta maaf Yang Arif.

Ketika diperiksa semula oleh peguam Ridha Abdah Subri, mengapa beliau setuju dan tidak menolak pemberian itu, Zizie Izette berkata, beliau tidak nampak ada perkara yang tidak betul selepas Norhaili menjelaskan ia komisen daripada Public Mutual.

“Maka saya terima dengan rela hati… ambil kira pertimbangan,” katanya.

Zizie Izette berkata, beliau mengetahui akan menerima wang pengenalan melalui Norhaili melalui panggilan telefon pada 11 Jun 2015, yang memaklumkan agensinya akan memberikannya wang pengenalan.

“Elly beritahu saya, FELCRA Bhd telah melabur dalam produk unit amanah Public Mutual dan beliau serta Madhi (ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid) ingin memberi wang pengenalan lebih kurang RM2 juta kepada saya kerana memperkenalkan FELCRA Berhad kepada mereka.

“Saya terkejut. Saya beritahu saya tidak buat apa-apa pun, namun Elly menyatakan ia amalan biasa agensinya dan strategi pemasaran beliau untuk memberikan wang pengenalan sebagai tanda penghargaan kerana membantu mereka dalam jaringan sosial.

“Pada 12 Jun 2015 di cawangan Public Bank Taman Melawati, Elly dan Madhi memaklumkan kepada saya, agensi mereka akan memberikan wang pengenalan sebanyak RM2.8 juta kerana memperkenalkan mereka kepada FELCRA Bhd.

“Elly kemudian menyatakan mereka akan membayar saya RM2.2 juta secara tunai dan cadangkan bakinya sebanyak RM600,000 dilaburkan dalam produk unit amanah Public Mutual kerana saya juga mempunyai pelaburan di agensi itu,” katanya.

Zizie Izette berkata, kedua-dua mereka juga memaklumkan kepadanya bahawa mereka melaburkan RM262,500 dalam Akaun Public Islamic Treasures Growth Fund dan RM337,500 dalam Akaun Public Ittikal Sequel Fund atas nama akaun beliau.

Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, memperoleh suapan RM2.2 juta daripada Madhi, bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk lembaga itu membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan kedua, beliau didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi, sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan sama.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa memperoleh suapan RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequal Fund (PITSEQ) tertuduh sebagai upah kepada Bung Moktar bagi tujuan sama, di lokasi serupa pada jam 12.18 tengah hari 19 Jun 2015.

Semua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top