Zoey Rahman Cipta Lirik Sendiri, Berduet Dengan Elliza Razak Dalam ‘Kita Dah Raya’

Zoey Rahman Cipta Lirik Sendiri, Berduet Dengan Elliza Razak Dalam ‘Kita Dah Raya’


Pelakon, pengacara dan usahawan Zoey Rahman mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjayanya apabila tampil menghasilkan lirik lagu raya berjudul Kita Dah Raya, sekali gus berganding suara bersama penyanyi Elliza Razak.

Menurut Zoey, pengalaman menulis lirik buat pertama kali merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangka kerana sebelum ini dia tidak menyedari mempunyai bakat dalam bidang tersebut.

“Pada mulanya pengurus saya meminta saya menulis beberapa idea tentang suasana Hari Raya khusus untuk generasi muda yang sedang bercinta. Selepas saya siapkan, saya serahkan kepada pengurus dan dia membuat sedikit perubahan sebelum menghantarnya kepada komposer RiaRaiba.

“Keesokan harinya dia menghantar mesej kepada saya bersama demo lagu raya itu dan meminta saya menyanyikannya secara duet. Ketika itu saya agak terkejut, tetapi selepas mendengar demo tersebut beberapa kali saya rasa lagu ini sedap dan saya fikir tiada salahnya untuk mencuba,” katanya.

Pada peringkat awal, pengurus Zoey yang dikenali sebagai Zafar mencadangkan penyanyi Anis Suraya sebagai pasangan duet. Namun selepas mendengar demo lagu tersebut, Anis meminta sedikit masa untuk berbincang dengan suaminya terlebih dahulu.

“Selepas beberapa hari, Anis memaklumkan suaminya mahu berbincang dan meneliti beberapa perkara terlebih dahulu. Disebabkan masa semakin suntuk kerana Ramadan semakin hampir, kami membuat keputusan untuk mencari penyanyi lain sebagai pasangan duet.

“Akhirnya timbul idea untuk mengajak Wani Syaz atau Elliza Razak. Selepas berbincang dan mendapat persetujuan Elliza, kami terus membuat persiapan ringkas dan masuk ke studio untuk merakamkan lagu ini,” katanya.

Proses rakaman Kita Dah Raya mengambil masa kira kira enam jam dan dijalankan di Platinum Studio, Damansara Perdana dengan bantuan jurutera bunyi Mr Choy atau lebih dikenali sebagai Illegal serta Nine Phyne Ballerz yang bertindak sebagai jurulatih vokal.

Elliza Razak pula mengakui teruja apabila menerima tawaran untuk terlibat dalam projek lagu raya tersebut, lebih lebih lagi kerana sudah lama tidak bertemu Zoey.

“Pada mulanya saya menerima panggilan daripada Zafar yang bertanya sama ada saya mahu menyertai satu projek mengejut. Selepas dia menjelaskan bahawa ia merupakan lagu raya duet bersama Zoey, saya terus rasa teruja kerana kami sudah lama tidak berjumpa.

“Apabila kami bertemu semula untuk berbincang, banyak kenangan lama muncul kembali. Disebabkan kami sudah lama berkawan, keserasian itu memang sudah ada dan memudahkan proses rakaman.

“Saya juga membantu memberikan panduan vokal dan memberi semangat kepada Zoey. Pada awalnya dia agak gementar, tetapi selepas beberapa ketika dia semakin selesa dan proses rakaman berjalan dengan lancar,” katanya.

Lagu Kita Dah Raya merupakan ciptaan RiaRaiba dengan lirik oleh Zoey Rahman dan telah dilancarkan di semua platform digital bermula 6 Mac 2026.

Pembikinan muzik video lagu tersebut dijadualkan berlangsung di studio Rusa Music pada 12 Mac sebelum dilancarkan di saluran YouTube Rusa Music dalam masa terdekat.

Zoey berharap lagu tersebut mampu menceriakan sambutan Aidilfitri dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Kalau sebelum ini ramai yang membesar dengan lagu raya Anuar dan Ellina berjudul Suasana Hari Raya, tahun 2026 biarlah gabungan Zoey dan Elliza pula membawa lagu raya Kita Dah Raya untuk menghiburkan semua.

“Terima kasih kepada Elliza kerana sudi berduet dan memberi kepercayaan kepada saya. Harapan kami agar lagu ini diterima oleh semua peringkat umur dan menjadi antara lagu raya yang terus diingati,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top