BEKAS tonggak lincah Chelsea, Gianfranco Zola menyifatkan The Blues berada di landasan menuju ke arah kecemerlangan di bawah pengendali kelahiran Itali, Enzo Maresca ketika kelab London itu menduduki tempat keempat Liga Perdana Inggeris selepas tujuh perlawanan.
Pada masa sama, Zola, yang menyarung jersi Chelsea antara 1996 hingga 2003 dengan memenangi dua Piala FA, Piala Liga dan Piala Pemenang Piala UEFA menyokong rakan senegaranya menampilkan keberhasilan terbaik di Stamford Bridge juga menegaskan mengumpul trofi kini lebih sukar berbanding sebelum ini.
“Dia berada di bawah tekanan untuk memenangi trofi bersama Chelsea.
“Masanya berbeza, kerana sebelum ini pendahulunya mempunyai pasukan yang hebat. Maresca juga mempunyai pasukan yang sangat bagus, tetapi sangat muda dan perlu berkembang.
“Setakat ini, dia bermain dengan sangat baik, dan saya sangat berharap dia boleh melakukannya. Dia akan menghadapi tugas yang sukar kerana persaingan di England, semua orang tahu ia begitu kuat… Tetapi sekali lagi, saya suka apa yang dia lakukan, dan dia ada peluang menyerlah diri dan Chelsea,” kata Zola.
Sebagai rekod, Maresca ialah pengendali Itali ketujuh dalam sejarah Chelsea dan Zola kekal sebagai antara pemain paling popular yang pernah berbakti di Stamford Bridge.
Sebelum ini, The Blues berdepan satu tempoh pergolakan sejak konsortium Todd Boehly-Clearlake memperoleh kelab itu daripada pemilik sebelumnya, Roman Abramovich pada 2022.
Sepanjang tempoh itu juga lima pengendali dan lebih 30 pemain direkrut secara tetap untuk berkhidmat di Stamford Bridge.
Begitupun dari kaca mata Zola, segalanya bersatu di bawah Maresca berusia 44 tahun, yang menyertai dari Leicester City.
“Saya melihat struktur yang sedia ada. Pasukan sedang berusaha untuk sesuatu yang bagus. Saya sukakannya. Sebagai jurulatih, saya melihat sesuatu di atas padang. Sekarang ada banyak kerja yang perlu dilakukan kerana jelas sekali tahap persaingan adalah agak tinggi,” ujarnya.
Sebagai rekod, Chelsea, yang tidak pernah tewas aksi liga sejak kekalahan hari pembukaan kepada penyandang juara Manchester City, akan bertandang ke Stadium Anfield menentang Liverpool pada Ahad.