Zon bebas cukai Forest City bermula Jumaat ini

Zon bebas cukai Forest City bermula Jumaat ini


ISKANDAR PUTERI: Fasa pertama pelaksanaan zon bebas cukai di Forest City di sini bermula 15 November ini manakala fasa kedua dijangka pada suku pertama tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaksana­an zon bebas cukai itu akan dibantu dengan pengoperasian Kompleks Kastam Diraja Malaysia Forest City yang baharu.

Katanya, kompleks kastam tersebut merupakan antara yang tercanggih bagi memastikan pergerakan keluar masuk ke Pulau Satu Forest City berjalan lancar.

“Kompleks kastam ini akan mula beroperasi pada 15 November ini dan ia adalah momentum yang kita hendak teruskan untuk Johor. Semasa pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri baru-baru ini, daripada 10 permohonan kita buat, lapan daripadanya diluluskan.

“Sebagaimana kita bekerjasama membina kompleks kastam di sini, sama-samalah kita bekerjasama membina Johor yang lebih maju dan gemilang,” katanya dalam majlis perasmian Kompleks Kastam Diraja Malaysia Forest City di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han serta Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. (CGPV), Datuk Daing A. Malek.

Onn Hafiz berkata, penggunaan teknologi terkini dalam kompleks kastam di Forest City adalah selari dengan hasrat menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Selain itu, saya akan mengetuai delegasi kerajaan negeri ke Dubai tidak lama lagi untuk melihat dan mempelajari industri kewangan di sana. Kita juga akan mengadakan pertemuan dengan para pelabur berpotensi di sana,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Md. Othman Yusof memaklumkan pihaknya telah bersedia dengan implementasi Pulau Satu Forest City sebagai zon bebas cukai.

Forest City diwartakan sebagai pulau bebas cukai pada September lalu dan merupakan yang kelima di negara ini.

Namun, ia adalah yang pertama boleh diakses menggunakan kenderaan darat. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top