am@hmetro.com.my
Rantau Panjang: Kerajaan meluluskan pemindahan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ke lokasi baharu berdekatan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau turut dikenali sebagai Masjid Beijing di sini, dengan anggaran keluasan 16.2 hektar.
Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pada 13 Februari nanti akan diadakan pertemuan dengan semua pemilik tanah yang terbabit sebagai langkah permulaan untuk memulakan projek membuka zon ekonomi baharu itu.
Menurutnya, projek berkenaan perlu melalui beberapa fasa dan mungkin mengambil masa yang agak lama, namun ia akan dijalankan agar dapat mewujudkan zon bebas cukai baharu yang lebih strategik dan terkawal.
“Jarak antara lokasi zon bebas cukai sedia ada dengan yang baharu hanya dua kilometer (km) sahaja dan saya yakin ia tidak membebankan mana-mana pihak yang terbabit sebaliknya memberi lebih banyak manfaat jika ia dilaksanakan.
“Umum mengetahui, lokasi sekarang agak tidak praktikal kerana berada di kawasan berdekatan sekolah, tanah perkuburan serta kediaman penduduk sebaliknya zon bebas cukai sepatutnya hanya dipenuhi premis jualan sahaja.
“Selain itu, perancangan ini juga akan memudahkan pihak penguat kuasa membuat kawalan kerana urusan keluar masuk tidak lagi bercampur aduk dengan urusan membeli belah di zon bebas cukai,” katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri kini dalam perancangan untuk memindahkan zon bebas cukai di Rantau Panjang ke lokasi baharu yang lebih strategik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamarudin Md Noor sebelum ini berkata, ia kerana zon bebas cukai yang sedang beroperasi kini berada berhampiran kediaman penduduk dan kawasan kampung.
Siti Zailah berkata, tapak pekan Rantau Panjang sedia ada akan dikekalkan sebagai Bandar Pelancongan Sempadan Malaysia-Thailand yang mana ia turut akan dinaik taraf untuk tarikan pelancong.
Menurutnya, dia berharap agar perancangan membabitkan kerajaan Persekutuan dan negeri itu akan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak terutama penduduk dan peniaga kerana kita mahu pembangunan ini memberi manfaat kepada pelbagai pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd