Zuleffendi–Hafizul padukan libasan skuad negara ke Thailand 2025

Zuleffendi–Hafizul padukan libasan skuad negara ke Thailand 2025


KEMBALINYA dua regu Negeri Sembilan Antlers, Zuleffendi Sumari dan Hafizul Hayazi ke pangkuan skuad sepak takraw kebangsaan disifatkan suntikan tenaga baharu buat pasukan negara dalam misi memburu kecemerlangan di Sukan SEA Thailand 2025.

Ketua jurulatih skuad negara, Ahmad Jais Baharun berkata, kehadiran semula apit kiri berpengalaman itu memberi nilai tambah penting kepada keseimbangan pasukan khususnya dalam memperkukuh aspek taktikal dan persefahaman antara pemain.

“Zuleffendi baru saja melapor diri dan kita memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti aerobik serta anaerobiknya. Kita mahu tahap kecergasan fizikalnya selari dengan kemahiran permainan agar prestasinya dapat mencapai kemuncak menjelang Sukan SEA nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebagai rekod, Zuleffendi kembali menyertai latihan pasukan negara Selasa selepas mendapat pelepasan daripada majikannya.

Ahmad Jais dalam masa sama juga menyatakan keyakinan terhadap apit kanan, Hafizul yang dilihat kekal konsisten dengan prestasi dan komitmen tinggi sejak menyertai kem kebangsaan beberapa minggu lalu.

“Dari segi disiplin dan kesungguhan, Hafizul antara pemain paling komited dalam pasukan. Sama ada dalam latihan fizikal atau di gelanggang, dia sentiasa memberikan yang terbaik dan mengekalkan momentum seperti yang pernah ditunjukkan sebelum ini,” katanya lagi.

Beliau berharap penyertaan semula regu Negeri Sembilan itu mampu memberi impak positif kepada kekuatan keseluruhan pasukan negara, khususnya dalam membentuk gandingan mantap antara posisi apit kiri dan kanan menjelang aksi di temasya Thailand 2025.

“Insya-ALLAH, dengan semangat dan keserasian mereka, pasukan negara dapat mempersembahkan corak permainan yang lebih bertenaga di Sukan SEA nanti,” ujar bekas tekong kebangsaan itu.

Menurut beliau, sesi latihan kebangsaan berjalan lancar dan dijangka berakhir hujung minggu ini sebelum semua pemain diberi pelepasan seminggu untuk kembali bersama pasukan negeri masing-masing bagi menghadapi Kejohanan Piala Tun Ali di Melaka dari 3 hingga 9 November depan.

Dalam pada itu, Ahmad Jais turut mengingatkan pemain menggunakan Kejohanan Piala Tun Ali sebagai platform penting untuk menilai tahap prestasi dan menajamkan rentak permainan masing-masing sebelum kembali ke latihan pusat.

“Kejohanan ini bukan sekadar pentas persaingan negeri, tetapi medan terbaik untuk pemain membuktikan kemampuan sebenar dan membawa aura kemenangan ke kem kebangsaan nanti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berusaha memastikan Hafizul dan Zuleffendi berada dalam skuad kebangsaan menjelang Sukan SEA pada hujung tahun ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, perbincangan bersama jurulatih telah diadakan bagi memastikan kedua-dua pemain tersebut dibawa ke temasya dwitahunan itu dalam usaha memperkuat cabaran negara.

Ringkasan AI

  • Kembalinya dua regu Negeri Sembilan Antlers, Zuleffendi Sumari dan Hafizul Hayazi meningkatkan kekuatan pasukan sepak takraw kebangsaan untuk Sukan SEA Thailand 2025
  • Kehadiran Zuleffendi dan Hafizul memberi nilai tambah dalam aspek taktikal dan persefahaman antara pemain
  • Latihan fokus pada peningkatan kapasiti aerobik dan anaerobik Zuleffendi untuk memastikan prestasi fizikalnya optimal
  • Hafizul dilihat sebagai pemain yang konsisten dengan komitmen tinggi dalam latihan dan permainan
  • Sesi latihan kebangsaan diharap berakhir dengan baik sebelum pemain kembali ke pasukan negeri untuk Kejohanan Piala Tun Ali



Source link

OR

Scroll to Top