Turin: Alexander Zverev mara ke separuh akhir Jelajah Final ATP selepas menewaskan juara Terbuka Perancis dan Wimbledon, Carlos Alcaraz, dengan keputusan 7-6(5), 6-4, manakala Casper Ruud turut layak selepas menang 6-4, 5-7, 6-2 ke atas Andrey Rublev.
Pemain Jerman, Zverev, memasuki perlawanan sebagai pendahulu kumpulan dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan — menentang Rublev dan Ruud tetapi perlu memenangi sekurang-kurangnya satu set menentang Alcaraz untuk mengesahkan tempatnya di separuh akhir.
Dalam set pembukaan yang sengit, momentum sering bertukar tangan sebelum pilihan kedua Zverev akhirnya memenangi tiebreak.
Dia kemudian membina pendahuluan 3-1 dalam set kedua sebelum menahan kebangkitan lewat daripada Alcaraz.
Keputusan itu memberikan Zverev kelebihan 6-5 dalam rekod pertemuannya dengan Alcaraz.
Ia juga kemenangan ke-69 pemain nombor dua dunia itu pada musim ini, jumlah kemenangan terbanyak dalam satu musim sejak Andy Murray (78) pada 2016.
“Dia (Alcaraz) terlalu banyak mengalahkan saya tahun ini dalam perlawanan penting, jadi saya gembira dapat memenangi yang ini,” kata Zverev.
“Sudah tentu saya rasa kami mempunyai persaingan yang cukup baik dengan persahabatan yang hebat juga, jadi sentiasa seronok bermain menentangnya… Berkongsi gelanggang dengannya. Dia seorang yang hebat dan saya menantikan perlawanan seterusnya dengannya.
“Ia adalah tiga perlawanan yang hebat. Saya gembira mencatatkan tiga kemenangan dalam kumpulan ini, tetapi saya rasa separuh akhir akan sangat sukar. (Taylor Fritz) mengalahkan saya beberapa kali di kejohanan slam, jadi saya menantikan perlawanan itu.”
Kemenangan ini lebih manis bagi Zverev kerana dia tewas dalam final Terbuka Perancis kepada Alcaraz pada Jun lalu.
Sebagai pilihan kedua, Zverev menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan John Newcombe dan akan menentang finalis Terbuka Amerika Syarikat, Taylor Fritz.
© New Straits Times Press (M) Bhd