10 Bahagian Bersatu digantung boleh bersidang Disember depan – Hamzah

10 Bahagian Bersatu digantung boleh bersidang Disember depan – Hamzah


LARUT – Semua 10 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang digantung sebelum ini, dibenarkan mengadakan persidangan dan pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada Disember.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, peringkat cawangan bahagian berkenaan, boleh memulakan mesyuarat semula mulai 7 November.

“Manakala bagi pemilihan di peringkat bahagian pula akan dilaksanakan pada Disember depan, kita gantung bukan gantung selama-lamanya, cuma kita tangguh untuk elak perkara yang tidak diingini berlaku membabitkan keseluruhan pemilihan kelak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Larut di Dewan Serbaguna Sungai Bayor, dekat sini, hari ini.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Abdul Azim Mohd Zabidi mengesahkan 10 bahagian jawatankuasa parti itu digantung dan tidak boleh bersidang dalam pemilihan parti yang berlangsung hari ini.

Keadaan itu menyebabkan ahli di 10 bahagian itu tidak boleh mengundi bagi memilih tiga naib presiden dan 20 majlis pimpinan tertinggi (MPT).

Sepuluh bahagian itu ialah Jasin, Tapah, Teluk Intan, Machang, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong, Cameron Highlands termasuk Hulu Langat dan Kota Melaka, yang menerima notis pemberitahuan menerusi surat bertarikh 31 Oktober. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top