KOTA BHARU: Polis menahan 12 individu yang terdiri daripada lima lelaki dan tujuh wanita bagi membantu siasatan berhubung rusuhan di Pasar Awam Melor di sini semalam.
Kejadian pukul 2.30 petang itu menyebabkan seorang wanita mengalami kecederaan pada bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, tangkapan itu dilakukan selepas mangsa berusia 19 tahun tampil membuat laporan mendakwa dirinya dikasari seorang wanita lain berusia lingkungan 20-an.
“Akibat kejadian tersebut, pengadu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Mohd. Rosdi memberitahu, kesemua suspek yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 50-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.
Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu esok untuk permohonan reman.
“Pergaduhan membabitkan beberapa individu itu berlaku kawasan awam sebelum dileraikan oleh orang ramai,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu video di laman sosial Facebook berdurasi 1 minit 29 saat hari ini yang memaparkan empat wanita sedang bergaduh di Pasar Awam Melor di sini.-UTUSAN






