Pelakon Rozita Che Wan menitipkan ucapan istimewa dan romantis buat suaminya, Zain Saidin bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-12.
Menerusi hantaran di Instagram, Che Ta berkata sepanjang 12 tahun perjalanan rumah tangga ada fasa ketika sukar namun mereka sentiasa tulus dan jujur.
BACA: Che Ta Hilang Banyak Kontrak Lepas Viral Isu Hutang
“Dua belas tahun, sayang (15 tahun kenal, lama betul) dan entah bagaimana hati ini masih membisikkan nama yang sama setiap kali ia mencari ketenangan.
“Kita dah berkongsi satu perjalanan yang bukan selalu senang, tapi selalu jujur. Selalu tulus. Selalu kita berdua, saling menggenggam tangan.
“Bila dunia jadi susah, awaklah tempat hati ini pergi untuk berehat. Bila badai datang, awaklah ketenangan yang membawa saya kembali,” katanya.
Sementara itu, Che Ta berkata jika diberi peluang untuk hidup seribu kali, dia tetap akan memilih Zain dalam setiap kehidupan.
“Terima kasih kerana memilih kehidupan ini bersama saya. Selamat ulang tahun perkahwinan ke-12, sayang. Jika saya dapat hidup seribu kali pun, saya akan tetap mencari awak dalam setiap kehidupan dan saya tetap akan memilih awak,” tulisnya.






