15 Kes Akibat Cuaca Panas Termasuk Kematian Kanak-Kanak Direkodkan, KKM Kongsi Langkah Pencegahan

15 Kes Akibat Cuaca Panas Termasuk Kematian Kanak-Kanak Direkodkan, KKM Kongsi Langkah Pencegahan


Sebanyak 15 kes penyakit berkaitan cuaca panas termasuk yang meragut nyawa seorang kanak-kanak direkodkan di seluruh negara pada tahun ini setakat semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya dari 1 Januari hingga 24 Mac 2026, terdapat sebanyak 11 kes kelesuan haba, satu kes kejang haba dan tiga kes strok haba dilaporkan.

“Semua kes telah pulih kecuali satu kes strok haba melibatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam kenderaan tanpa disedari oleh ibubapa telah meninggal dunia disebabkan strok haba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KKM, cuaca panas boleh memudaratkan kesihatan manusia dengan spektrum penyakit bermula daripada ringan sehingga boleh membawa maut.

Katanya, gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan dan rasa mual.

Dalam keadaan yang terlalu teruk, ia boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri atau koma, jelas kenyataan itu.

“Semua individu yang terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama boleh mengalami penyakit berkaitan cuaca panas.

“Namun golongan seperti kanak-kanak, warga emas, mereka yang mempunyai penyakit kronik, kumpulan pekerja yang terdedah kepada cuaca panas, dan individu yang melakukan aktiviti fizikal semasa cuaca panas adalah lebih berisiko untuk mendapat penyakit berkaitan cuaca panas yang teruk seperti strok haba,” katanya.

Jangan ambil mudah fenomena cuaca panas kerana ia boleh mengakibatkan kematian. GAMBAR HIASAN/BERNAMA

Situasi cuaca panas ketika ini turut menyaksikan beberapa kawasan di Semenanjung berada pada tahap berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian antara 35°C hingga 37°C sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Antara kawasan terlibat termasuk di Kedah (Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang (Daerah Utara dan Timur Laut), Perak (Hulu Perak, Selama, Kuala Kangsar dan Kinta), Pahang (Jerantut dan Raub) serta Perlis.

Sementara itu, tiga kawasan di Kedah iaitu Pokok Sena, Pendang dan Baling mencatat suhu lebih tinggi antara 37°C hingga 40°C sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sehubungan itu, KKM mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah pencegahan berikut semasa cuaca panas:

i. Rancang aktiviti ziarah raya atau aktiviti di luar rumah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang;

ii. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan;

iii. Kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan;

iv. Golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas, perlu dipastikan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi;

v. Awasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari;

vi. Kerap mandi bagi menyejukkan badan. Elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan;

vii. Hadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas;

viii. Hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan yang lama kepada cuaca panas. Gunakan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas;

ix. Gunakan kipas atau penyaman udara untuk menyejukkan badan;

x. Elakkan berada di dalam kenderaan tertutup ketika penyaman udara tidak dihidupkan semasa cuaca panas;

xi. Pastikan tiada kanak-kanak ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan di bawah matahari;

xii. Sentiasa mengambil tahu keadaan warga emas yang tinggal bersendirian, sama ada ahli keluarga sendiri ataupun jiran;

xiii. Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas.






Source link

OR

Scroll to Top