June 13, 2024

15 maut, dua cedera akibat banjir, tanah runtuh di Indonesia


JAKARTA – Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh akibat banjir dan tanah runtuh di dua daerah Sulawesi Selatan, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).

Jurucakap BNPB Abdul Muhairi berkata bencana di daerah Luwu mengorbankan 14 nyawa apabila hujan lebat menyebabkan paras air meningkat antara satu hingga tiga meter di 13 daerah kecil pada Jumaat.

”Data Pusat Kawalan Operasi BNPB sehingga Sabtu 6 pagi menunjukkan 1,385 keluarga terjejas dan 115 orang menginap di beberapa masjid dan rumah sanak saudara,” katanya dalam kenyataan.

Laporan kerugian awal bencana termasuk 1,970 rumah rosak, 42 rumah hanyut, 14 motosikal dan empat kereta rosak, empat jalan dan sebuah jambatan terjejas, serta kawasan sawah padi ditenggelami air.

Di daerah Sidenreng Rappang pada hari yang sama, seorang terbunuh dan dua lagi cedera akibat banjir setelah hujan lebat berterusan menenggelamkan lima kampung di tiga daerah kecil.

”Seramai 887 keluarga terjejas. Empat keluarga menginap di pusat pemindahan,” kata Abdul Muhairi, sambil menambah tujuh rumah rosak, empat rumah dihanyutkan banjir dan tiga jalan raya terjejas. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top