16 September detik bersejarah tujuh mempelai

16 September detik bersejarah tujuh mempelai


KLUANG: Sambutan Hari Malaysia menjadi  detik bersejarah bagi tujuh pasangan pengantin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota apabila diraikan dalam majlis persandingan beramai-ramai.

Difahamkan pasangan yang menyertai majlis tersebut hanya membayar mas kahwin dan menyewa baju pengantin, manakala jamuan dan pelamin disediakan oleh Yayasan Prihatin Kluang. 

Pasangan pengantin, Mohamad Amirul Md. Din, 25, dan Nor Asnani Ishak, 26, bersyukur majlis persandingan itu berjalan lancar.

Mohamad Amirul yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, majlis pernikahan telah diadakan di Masjid Dato’ Ahmad Kampung Abdul Rahman Yassin pada Jumaat lalu. 

“Saya dan isteri memang gembira sebab dapat jimat perbelanjaan kahwin kerana seperti mana yang kita tahu zaman sekarang harga semua naik.

“Saya seronok dapat kahwin serentak dengan pasangan yang lain, lebih bermakna lagi tarikhnya cukup istimewa pada 16 September,” katanya ketika ditemui di Dewan Sharifah Azizah di Taman Ilham, di dini hari ini. 

Pengurus Eksekutif Yayasan Prihatin Kluang, Zainani Jamaluddin berkata, program kahwin beramai-ramai yang julung diadakan di DUN Mahkota selepas terhenti kira-kira tujuh tahun lalu. 

“Kami amat gembira dan bersyukur dapat melaksanakan majlis ini yang berjalan lancar dengan kehadiran keluarga pengantin dan penduduk setempat. Ia juga dapat membantu golongan anak muda yang kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top