am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan untuk diraikan secara berlebihan, sebaliknya ia amanah bagi Barisan Nasional (BN) bekerja dengan lebih kuat, mentadbir dengan lebih baik dan memastikan manifesto parti dilaksanakan secara berkesan.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kepercayaan yang diberikan oleh rakyat tidak boleh dikhianati dan mandat diperoleh tidak boleh disia-siakan susulan kemenangan BN yang menyaksikan parti itu mendapat mandat jelas untuk mengembalikan kestabilan serta memperkukuh pentadbiran negeri.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi di Negeri Sembilan atas kepercayaan yang diberikan, selain mengucapkan tahniah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; serta seluruh calon dan jentera parti yang berjuang dengan penuh disiplin.
Azalina berkata, kejayaan BN pada pilihan raya ini membuktikan bahawa aspek penerangan dan komunikasi strategik kini menjadi antara tunjang utama kemenangan sesebuah parti.
Jelasnya, kempen yang berkesan bukan lagi sekadar bergantung kepada ceramah, poster atau kekuatan jentera tradisional semata-mata, sebaliknya memerlukan keupayaan memahami isu, menguasai data dan membaca sentimen rakyat.
“Kita kini berada dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI), algoritma dan komunikasi berasaskan data. Pihak yang lebih pantas memahami perubahan sentimen, tingkah laku pengundi dan landskap media akan lebih bersedia menyusun strategi serta memenangi keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pasukan komunikasi strategik, gerak kerja digital, media, penyelidikan dan kandungan yang bekerja secara tersusun daripada pemantauan isu hingga kepada amplifikasi mesej tawaran BN kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Azalina menegaskan bahawa sejurus tamatnya tempoh berkempen, fokus utama kini perlu dialihkan kepada pelaksanaan kerja sebenar demi kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan yang dibentuk mesti berkhidmat untuk semua rakyat Negeri Sembilan, tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau kecenderungan politik. Kini masanya untuk menunaikan amanah dan membuktikan kepercayaan yang diberikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






