norhayati_nordin@hmetro.com.my
Memulakan langkah sebagai pelakon drama di TV3 pada 2009, budi yang melekat kira-kira 18 tahun itu diakui Shahz Jaszle terus dikenangnya hingga kini, malah menjadi keutamaan.
Bakal muncul dengan drama terbaharu iaitu Sepenuh Hati Rindu di slot Samarinda TV3 bersama Farah Nabila dan Razzuan Rosli, bapa tiga cahaya mata ini teruja membawa watak sebagai Imran.
“Syukur Alhamdulillah, rezeki saya berlakon drama sentiasa ada dan tidak putus, tetapi tawaran untuk filem nampaknya saya perlu sabar menunggu rezeki tiba walaupun sangat menginginkannya.
“Kalau boleh, saya teringin nak berlakon cerita aksi kerana pernah beritahu pengurus untuk mencuba sebab saya memang ada belajar silat dan Muay Thai sebelum ini, jadi bolehlah kan.
“Saya ada ‘basic’ seni pertahankan diri, namun buat masa ini masih tiada rezeki untuk berlakon dalam filem. Tidak tahu kenapa susah sangat nak ‘lekat’ tawaran filem, dan mungkin agaknya muka saya terlalu ‘romeo’.
“Pengurus saya sendiri pernah cakap mengenai wajah saya yang dikatakannya masih ‘jambu’ walaupun umur saya sekarang sudah 38 tahun, berkahwin dan ada isteri dengan anak-anak,” katanya.
Kata pemilik nama sebenar Shahrizal Jaszle Jasmin ini, mungkin juga kerana sering dilihat membawakan watak lelaki romantik dalam pelbagai naskhah drama cinta membuat dia nampak tidak sesuai.
“Mungkin (muka) tidak cukup ganas. Jadi, macam mana pula saya nak dapat berlakon filem aksi. Tetapi, sekurang-kurangnya beri saya peluang tunjukkan ‘skill’ bertarung dulu.
“Cuma, saya memang nak keluar daripada kepompong genre romantik percintaan dan beralih kepada aksi. Tetapi, masih tidak berjaya dapat tawaran filem walaupun saya pernah hadiri beberapa sesi uji bakat.
“Saya sanggup luang masa pergi ‘casting’ sebagai salah satu usaha mencuba. Sebab, tidak boleh juga kalau saya asyik kata nak berlakon aksi tetapi tiada apa-apa usaha dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya filem Mayang dibintanginya juga masih belum ditayangkan dan terus menunggu maklumat terkini bila ia akan menemui penonton.
Tenang sebab makin matang
Ramah berbicara dan teliti menyusun kata-kata jelas menunjukkan kematangan Shahz Jaszle yang kini amat tenang apabila soalan diajukan kepadanya tidak ditepis, sebaliknya dijawab sahaja.
Ditanya perubahan dirinya yang terlihat ketara berbanding dahulu, Shahz Jaszle memaklumkan mungkin atas faktor usia dan tanggungjawab digalas sebagai suami, bapa dan ketua keluarga.
“Sekarang saya bukan muda lagi. Ditambah ketika awal kemunculan sebagai pelakon dulu, saya sudah merasai semuanya seperti gosip, cerita sensasi dan sebagainya yang ‘hangat’.
“Cukuplah itu sebab ketika muda, semua dah rasa. Sekarang saya pun ada isteri, anak dan keluarga. Jadi, saya perlu gigih bekerja untuk mencari rezeki buat menyara mereka tersayang.
“Anak-anak saya juga suka minta dibelikan itu dan ini yang memerlukan kehendak keluarga dilayan. Jadi, selagi ada rezeki tawaran berlakon drama, saya terima asalkan ada ‘job’ dan watak sesuai.
“Saya juga tidak memilih untuk berlakon watak utama sahaja sebab karakter pembantu pun saya terima sekiranya skrip memang bagus. Apa yang saya pentingkan adalah skrip dan jalan cerita,” katanya.
Kata pelakon filem Azura 2012 itu, dia juga gembira dan bersyukur menerima bayaran lakonan setimpal mengikut komitmen yang diberi serta bekerja dengan pasukan produksi kompetitif.
Mengulas watak, Shahz Jaszle yang juga hebat membawa karakter antagonis berkata, dia menerima dengan baik atau jahat kerana ia adalah tanggungjawab pelakon untuk dilakukan sebaik mungkin.
Menurutnya, dia sentiasa sudah bersedia memahami kehendak watak ketika di set penggambaran dan kadang kala berbincang dengan pengarah kerana bekerja secara pasukan.
“Saya juga suka buat hal sendiri di lokasi dan ‘study’ karakter betul-betul sebab sangat hargai masa sendiri dan orang lain. Apatah lagi, saya mahu urusan kerja lancar dan cepat boleh balik ke rumah.
“Anak-anak menunggu, dan pada masa sama saya ingin ada masa dengan mereka. Tetapi, kadang-kadang ada juga balik lambat dan saya akur kerana kerja lakonan belum selesai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
