April 23, 2024

189 dana layak ditawarkan untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP


KUALA LUMPUR – Sejumlah  189 dana Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) mencapai  kriteria kelayakan minimum dan layak ditawarkan kepada ahli KWSP untuk tempoh 2024/2025.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 296 dana yang diluluskan oleh KWSP daripada 18 institusi Pengurusan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, daripada dana yang layak ini, 151 dana, atau 79.9%, adalah dana tempatan, 107 dana (56.6%) adalah dana ekuiti, dan 76 dana (40.2%) adalah dana Shariah.

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP Rohaya Mohammad Yusof berkata, semua dana yang diluluskan di bawah SPA KWSP ini dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana.

Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan.

Menurutnya, skim ini membolehkan ahli untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 1 KWSP mereka ke dalam dana unit amanah yang layak ditawarkan untuk pelaburan di pasaran tempatan atau global bagi memberi peluang kepada ahli meningkatkan simpanan persaraan mereka.

“Senarai ini termasuk dana unit amanah berasaskan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang berperanan dalam memacu agenda pelaburan mampan KWSP, di samping memperkasa ahli untuk membuat keputusan pelaburan yang termaklum melalui pelbagai dana yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sejak pelancaran platform i-Invest pada 2019, sekitar RM2.5 bilion telah diurusniagakan sehingga Disember 2023.

Di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30% daripada lebihan jumlah simpanan di dalam Akaun 1 mereka. Ini termasuk melabur dengan Syarikat Pengurusan Dana Amanah dan Syarikat Mandat Persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan Simpanan Asas

KWSP menggalakkan lebih ramai ahli memanfaatkan kemudahan i-Invest berikutan penambahbaikan pada platform itu dibuat awal tahun ini yang membolehkan transaksi untuk portfolio mandat persendirian.

“Penambahbaikan ini membolehkan ahli untuk melakukan transaksi melibatkan portfolio mandat persendirian yang diluluskan, sebagai tambahan kepada dana unit amanah yang layak ditawarkan melalui platform i-Invest,” katanya.

Beliau menambah, portfolio mandat persendirian dan dana unit amanah di bawah SPA KWSP memberikan fleksibiliti kepada ahli untuk melabur melalui pengurus aset profesional berdasarkan objektif pelaburan individu, keutamaan dan toleransi risiko mereka.

Ahli boleh melakukan transaksi dengan mudah melalui i-Invest dengan caj jualan pendahuluan yang dibayar oleh ahli kepada IPD adalah dihadkan pada 0.5% untuk setiap transaksi pembelian. – MalaysiaGazette.



Source link

OR

Scroll to Top