Untung bersih Sime Darby Property naik 84% pada separuh pertama 2026

Untung bersih Sime Darby Property naik 84% pada separuh pertama 2026


PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) meraih pertumbuhan keuntungan selepas cukai serta kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak 84 peratus kepada RM480.8 juta pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2026.

Pertumbuhan kukuh tersebut didorong momentum jualan berterusan serta permintaan dalam segmen pembangunan hartanah (PD), selain pertumbuhan berterusan segmen pelaburan dan pengurusan aset (IAM).

Bagi tempoh sama, kumpulan merekodkan pertingkatan hasil sebanyak RM2.0 bilion, dengan segmen PD merekodkan hasil RM1.8 bilion, disokong kemajuan pembinaan yang lebih kukuh bagi projek perindustrian dan bangunan bertingkat tinggi.

Segmen itu terus menerima sumbangan daripada Bandar Bukit Raja, Elmina Business Park, City of Elmina, Serenia City dan KLGCC Resort, selain keuntungan nilai saksama sebanyak RM120.4 juta, terutamanya daripada pusat data bina untuk sewaan di Elmina Business Park serta kilang berkembar The Cubiz Collection di City of Elmina.

Sementara itu, segmen IAM mencatat hasil lebih tinggi sebanyak RM137.8 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM179.2 juta, didorong pendapatan sewaan pusat data, prestasi portfolio runcit, sumbangan aset perindustrian serta peningkatan bahagian keuntungan daripada usaha sama susulan pembalikan peruntukan berkaitan pelupusan Sime Darby Business Centre di Singapura.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, prestasi separuh pertama tahun ini mencerminkan daya tahan portfolio yang dipelbagaikan serta kekuatan model perniagaan bersepadu kumpulan.

“Pembangunan perindustrian terus menjadi pemacu pertumbuhan, manakala segmen pelaburan dan pengurusan aset yang semakin berkembang serta portfolio pendapatan berulang mengukuhkan asas strategi SHIFT32 kami,” katanya dalam taklimat media prestasi kewangan separuh pertama kumpulan secara maya di sini hari ini.

Bagi separuh pertama, Sime Darby Property melancarkan pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.0 bilion, terdiri daripada projek perindustrian bernilai RM816.7 juta atau 40 peratus, kediaman bertingkat tinggi RM561.9 juta (27 peratus), kediaman bertanah RM534.8 juta (26 peratus) dan komersial RM134.8 juta (tujuh peratus).

Setakat 9 Ogos 2026, tempahan mencecah RM1.0 bilion, memberikan momentum berterusan untuk penukaran jualan pada separuh kedua tahun ini.

Setakat 30 Jun 2026, kumpulan mengekalkan jualan belum dibil RM3.8 bilion, aliran tunai operasi positif serta nisbah hutang bersih kepada ekuiti sebanyak 35.5 peratus.

Dari segi dividen, kumpulan mengumumkan dasar pembayaran dividen antara 40 peratus hingga 60 peratus daripada PATAMI, tidak termasuk item luar biasa, berbanding rangka kerja pembayaran dividen terdahulu sebanyak 20 peratus daripada PATAMI.

Sime Darby Property mengisytiharkan dividen sebanyak 1.7 sen sesaham bagi suku kedua tahun kewangan 2026, meningkat 13 peratus tahun ke tahun dengan jumlah pembayaran RM115.6 juta.

Azmir berkata, permintaan dalam perbandaran teras dan pembangunan perindustrian kumpulan kekal kukuh, disokong saluran pelancaran yang sihat, jualan belum dibil yang tinggi serta portfolio pendapatan berulang yang semakin berkembang.

“Pengumuman dasar dividen mencerminkan keyakinan kami terhadap keupayaan kumpulan menjana pendapatan dan aliran tunai operasi yang mampan, khususnya apabila pendapatan berulang menjadi penyumbang lebih besar kepada keuntungan keseluruhan di bawah SHIFT32,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top