am@hmetro.com.my
Ipoh: Tawar gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Myanmar yang hanya khusus untuk lelaki warganegara itu sahaja, dengan menjadikan tingkat dua premis rumah kedai bangunan tiga tingkat sebagai pusat hiburan KTV dengan hiasan dalaman seakan di negara sendiri.
Taktik itu terbongkar susulan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak empat premis sekitar bandar raya ini, malam tadi.
Ia membawa kepada penahanan 39 individu warga Myanmar disyaki pendatang asing tanpa izin (Pati), termasuk 19 daripadanya adalah gadis pelayan pelanggan (GRO).
Wartawan NSTP yang menyertai operasi itu di tiga unit premis rumah kedai di Jalan Foo Yet Kai, di sini, difahamkan, sindiket itu mampu mengaut keuntungan antara RM6,000 hingga RM7,000 sehari bagi setiap premis.
Pakej ditawarkan bernilai antara RM450 hingga RM600 bagi sebuah bilik dilengkapi set karaoke.
Operasi turut meliputi sebuah premis di Lahat, di sini.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, berdasarkan risikan selama dua bulan, keempat-empat premis itu didapati beroperasi sejak enam bulan lepas dengan hanya menyasarkan pelanggan lelaki warga Myanmar sahaja.
Menurutnya, premis itu menawarkan bilik karaoke dengan arak, dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan mempunyai pintu kawalan jauh.
“Ia didapati turut menjadi tempat berjudi, di samping GRO yang bekerja di situ juga dipercayai menawarkan khidmat persundalan di luar premis,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, di sini tengah malam tadi.
Meor Hezbullah berkata, semua individu ditahan berusia antara 19 hingga 35 tahun itu, dan mereka dibawa ke Depot Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Meru Raya, di sini.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan Peraturan 39(b) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd