2 lagi termasuk Pengerusi syarikat warga asing direman SPRM kes pembelian baja padi

2 lagi termasuk Pengerusi syarikat warga asing direman SPRM kes pembelian baja padi


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu termasuk Pengerusi syarikat warga asing yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan pertanian.

Perintah tahanan reman selama lima hari sehingga 4 November itu dikeluarkan oleh Pendaftar, Tuan Syahrul Sazly Md Sain terhadap kedua-dua suspek selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek lelaki yang berusia kira-kira 40-an hingga 50-an itu ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM petang semalam.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan Pengurus bagi Bahagian Promosi dan Pemasaran pertubuhan tersebut  telah menerima sebut harga daripada wakil syarikat yang terlibat untuk mendapatkan kelulusan daripada Pengerusi Pertubuhan.

Ujarnya, Pengerusi pertubuhan telah memberi kelulusan untuk melantik syarikat asing itu tanpa perbandingan harga ataupun melalui Lembaga Pengarah.

”Kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60 juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa enam hari sahaja pada sekitar Jun 2022 sedangkan syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan tersebut sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(a)Akta SPRM 2009.

Sehingga hari ini, seramai tiga individu telah ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman sejak semalam sehingga 2 November ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kerajaan sehingga kini telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion untuk perolehan baja pertanian negara. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top