am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Cuaca panas melanda negara ketika ini menyebabkan berlakunya kemarau pada tahap tinggi, sekali gus memberi kesan ketara terhadap sumber air dan bekalan harian penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, paras air sumber utama membabitkan sungai dan telaga jejari menunjukkan penyusutan, manakala beberapa sumber air lain turut terkesan akibat kemarau berpanjangan.
“Keadaan ini dijangka akan memberi kesan kepada bekalan air domestik serta kegunaan harian penduduk sekiranya tidak ditangani dengan segera.
“Sehubungan itu, orang ramai digesa supaya menggunakan air secara berhemah dan berjimat cermat memandangkan tempoh kemarau ini masih belum dapat dipastikan bila akan berakhir,” katanya ketika ditemui di tapak kebakaran Cabang Tiga Kedai Buloh, di sini, hari ini.
Beliau juga mengingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana keadaan kering meningkatkan risiko kebakaran, terutama di kawasan rumput dan tanah lapang.
Izani berkata, kerajaan negeri memberi jaminan untuk memastikan bekalan air mencukupi, selain mengambil inisiatif mengenal pasti punca kehilangan air serta mempercepatkan kerja pembaikan kebocoran paip untuk kurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).
“Bagi kawasan yang mengalami gangguan bekalan air, pihak yang berkenaan turut menggerakkan tangki statik serta lori air untuk membantu penduduk,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





