July 23, 2024

25 tinjau ekonomi desa

25 tinjau ekonomi desa



am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Menyusuri sungai menaiki katamaran, meredah hutan dan berbasikal ‘ronda’ kampung menjadi pengalaman yang mengujakan selain menggamit memori sewaktu kecil.

Diserikan dengan pemandangan indah, suasana yang mendamaikan dikelilingi kawanan burung dan kerbau menjadi pelengkap hari.

Begitu gambaran ketika mengikuti sebahagian Program Ekpedisi Pembelajaran Kejayaan Ekonomi Desa (X-PED) yang berlangsung selama tiga hari di dua kampung di daerah Seberang Perai di sini, anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Pegawai Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW Mohamad Shahrul Mohd Shafie berkata, program yang disertai seramai 25 peserta seluruh negara itu dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada komuniti luar bandar meningkat pengetahuan dan menimba

pengalaman dari kampung yang berjaya dalam pelaksanaan projek ekonomi.

Katanya, program itu mampu menjadi platform pembangunan pemimpin secara formal kepada peserta bagi mempelajari amalan terbaik yang boleh diaplikasi dan dijadikan model pembelajaran dalam meningkatkan sosioekonomi luar bandar.

“Sesi pembelajaran ini dicadang menerusi pendedahan kepada penggunaan teknologi dan digital, peluang pemasaran, promosi serta kursus atau latihan ke arah peningkatan kemahiran.

“Pelbagai aktiviti yang boleh meningkatkan pendapatan turut dijalankan dan diharap program ini dapat memperkasa daya kepimpinan komuniti desa dalam menerajui pembangunan luar bandar, meningkatkan keupayaan dalam membuat pengembangan serta mempelbagaikan aktiviti ekonomi.

“Kita mahu pengalaman dan pemerhatian mereka di sini dibawa balik ke tempat masing-masing serta dipelbagaikan, sehingga mampu menarik ekonomi sekitar dengan kualiti perkhidmatan yang baik sekaligus menjadikannya sebagai lokasi tarikan di sesebuah negeri,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada program itu, peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dalam komuniti dibawa melawat ke Kampung Agong, Penaga yang menjadi desa pelancongan dengan tawaran pelbagai aktiviti selain pemandangan yang indah.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah demonstrasi penanaman padi, penggunaan pengisar batu tradisional, anyaman daun kelapa, kaedah hasilkan santan dan nira kelapa, pengenalan busana tradisi dan pembuatan kraftangan.

Bagi peserta yang juga Pengerusi Koperasi Bechah Salak Bhd di Kuala Krai, Kelantan, Rizal Mamat, 52, berkata, aktiviti yang dijalankan dilihat ringkas tetapi menarik diserikan pemandangan memukau berlatarkan sawah padi.

“Di tempat saya sudah menawarkan aktiviti toreh getah dalam kalangan pengunjung dan mungkin boleh pelbagaikan lagi seperti memperlihatkan proses mengutip atau menggelek sekerap menjadi kepingan menggunakan mesin.

“Aktiviti seperti ini tidak ditawarkan di kawasan bandar, jadi sebagai komuniti kita perlu ambil peluang supaya pengunjung mahu ‘masuk’ kampung dan merasai pengalaman seperti nenek moyang masa dahulu,” katanya.

Turut dilawati ialah Kampung Labuh Banting di Kubang Semang yang menawarkan aktiviti ‘pusing kampung’ menerusi jalan air dan laluan hutan.

Kampung di bawah Projek Desa Lestari oleh KKDW yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) itu menawarkan perkhidmatan katamaran sejauh 12 kilometer dua hala menyusuri Sungai Kulim melalui Kampung Labuh Banting ke Sungai Datuk, Air Itam Dalam, Kampung Terus dan Desa Murni sebelum kembali ke Pangkalan Machang.

Selain itu peserta dibawa menjejak laluan Hutan Pembelajaran Air Hitam Dalam, berbasikal keliling kampung serta menikmati madu kelulut dan dodol yang diusahakan penduduk setempat.

Kampung yang menerima peruntukan sebanyak RM1juta selepas memenangi Anugerah Desa Lestari pada 2020 itu turut dinaiktaraf dengan pelbagai kemudahan serta dikunjungi pengunjung luar negara.

Selain hidangan masakan kampung, peserta turut berpeluang merasai pengalaman ketika kanak-kanak iaitu bermain ‘caplong’ menggunakan buluh, yang mengundang gelak tawa peserta.

Hadir sama ialah Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan Perda, Badariah Ahmad Oyama dan Pengerusi Koperasi Nelayan Labuh Banting, Mohd Nizam Ahmad.

Peserta yang juga Ahli Koperasi Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar Bhd, Hasnurlyaliza Ahmad Ahya, 32, berkata, menerusi aktiviti yang ditawarkan, golongan muda perlu mengambil peluang dan meneroka lebih banyak perkhidmatan di desa supaya tidak tertumpu kepada pekerjaan di bandar.

“Di inap desa yang diusahakan koperasi kami sudah menawarkan beberapa aktiviti seperti toreh getah, sukaneka, madu kelulut serta gendang silat dan boleh ditambah baik.

“Sebelum ini kami hanya menunjukkan demonstrasi, mungkin selepas ini kita dapat beri penerangan yang lengkap kepada peserta selain mengenakan pakaian sesuai supaya dapat gambaran lebih jelas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top