25,000 pelari gegar Malaysia Marathon 2026

25,000 pelari gegar Malaysia Marathon 2026


SERAMAI 25,000 pelari tempatan dan antarabangsa memeriahkan edisi sulung Malaysia Marathon 2026 yang berlangsung bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2026, dengan kategori 5 kilometer (km) Larian Ria menjadi kemuncak penyertaan terbesar apabila disertai 10,000 peserta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan pelepasan kategori berkenaan di pekarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid melepaskan peserta bagi kategori 5km sempena Program Malaysia Marathon 2026 di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Bernama

Suasana acara bertambah meriah apabila peserta disajikan dengan pelbagai pengisian patriotik sebelum larian bermula, termasuk nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan persembahan Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menambahkan warna-warni penganjuran kali pertama itu ialah perarakan Jalur Gemilang sepanjang satu kilometer yang dibawa oleh 1,000 pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Bangi.

Malaysia Marathon 2026 yang mendapat pengiktirafan badan olahraga dunia, World Athletics, mempertandingkan empat kategori utama iaitu maraton penuh 42km, separuh maraton 21km, 10km dan 5km.

Kategori 42km membuka tirai saingan apabila dilepaskan di Pavilion Kuala Lumpur melibatkan 2,000 pelari, sebelum disusuli acara 21km dengan 8,000 peserta dan 10km membabitkan 5,000 peserta.

Bagi edisi kali ini, KLCC dipilih sebagai lokasi garisan penamat bagi semua kategori, sekali gus membawa pembaharuan selepas Dataran Merdeka sebelum ini sering menjadi lokasi utama acara seumpamanya.

Penganjuran tersebut bukan sahaja mengangkat budaya larian jarak jauh di Malaysia, malah memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi acara sukan bertaraf antarabangsa.



Source link

OR

Scroll to Top