AIR mata Roger Federer akhirnya tumpah apabila legenda tenis Switzerland itu berdiri di pentas untuk mengimbas perjalanan empat dekadnya dalam sukan yang menjadi sebahagian besar hidupnya.
Momen penuh emosi itu berlaku ketika Federer, 45, secara rasmi diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran Tenis Antarabangsa di Newport, Rhode Island pada Sabtu.
Bekas pemain nombor satu dunia itu kelihatan sebak beberapa kali ketika menyampaikan ucapan, terutama apabila mengenang insan yang pernah memainkan peranan dalam perjalanan kariernya.
Federer yang bersara pada 2022 selepas mengumpul 20 gelaran Grand Slam berkata, pengiktirafan berkenaan memberi peluang kepadanya melihat kembali segala pengalaman yang dilalui sejak mula mengenali tenis.
“Ini adalah antara penghormatan terbesar dalam hidup saya. Mereka memanggilnya Hall of Fame, tetapi kemasyhuran bukan pernah menjadi matlamat saya.
“Matlamat saya adalah menghabiskan hidup melakukan sesuatu yang saya cintai bersama orang yang turut mencintainya seperti saya,” katanya.
Juara Wimbledon lapan kali itu turut mengenang zaman kanak-kanaknya ketika menjadi budak pengutip bola pada kejohanan ATP di Basel pada usia 13 tahun, sebelum akhirnya muncul sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah tenis.
“Sukar untuk menggambarkan apa maknanya berada di sini. Ia sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
“Saya benar-benar mahu berterima kasih kepada setiap budak pengutip bola yang pernah berdiri sepanjang perlawanan saya atau semua perlawanan, selama berjam-jam.
“Saya nampak kamu. Saya berterima kasih kepada kamu. Saya pernah menjadi seperti kamu,” katanya.
Emosinya semakin memuncak apabila Federer menyebut nama idolanya, Stefan Edberg, selain mengingati keluarga dan anggota pasukannya yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang karier.
“Saya perlukan tisu dan cermin mata hitam dan segala-galanya untuk melindungi diri saya sekarang. Ini memang bersepah,” katanya sambil berseloroh.
Dalam nada lebih santai, Federer turut berkongsi beberapa statistik unik sepanjang kariernya, termasuk dakwaannya memakai lebih 5,000 lilitan kepala sejak 1998 hingga bersara.
“Kalau itu belum cukup mengagumkan, saya mungkin memakai lebih 7,000 pasang stoking. Itu mungkin dua kali ganda berbanding kebanyakan lawan saya kerana saya memakai dua lapis,” katanya.
Walaupun sudah meninggalkan gelanggang profesional, Federer menegaskan cintanya terhadap tenis tidak pernah berakhir.
Katanya, Dewan Kemasyhuran Tenis Antarabangsa memberi peluang besar untuk melihat kembali perjalanan lalu, tetapi pada masa sama melihat ke hadapan.
“Seperti yang anda boleh lihat, saya masih menulis surat cinta saya kepada tenis.
“Waktu saya sebagai pemain sudah berakhir, tetapi tenis akan sentiasa berada di persimpangan segala yang paling saya sayangi, keluarga, persahabatan, 40 tahun yang lalu dan masa depan yang sedang kami bina.
“Bagi saya, tenis bertanggungjawab terhadap semuanya,” katanya.
