mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur mengeluarkan 283 saman dan menyita 26 motosikal dalam operasi khas membanteras aktiviti lumba haram di Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Ahad lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi melalui Unit Falcon itu dilaksanakan bermula jam 3 pagi hingga 5 pagi susulan aduan berterusan orang awam berkaitan kegiatan lumba haram dan samseng jalanan di laluan berkenaan.
Menurutnya, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pihak konsesi lebuh raya, Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI).
“Hasil pemantauan mendapati kawasan sekitar Batu Muda, Greenwood dan Sri Gombak dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan aktiviti lumba haram terutama pada hujung minggu.
“Antara aduan diterima termasuk aktiviti berkumpul secara besar-besaran, penggunaan lebuh raya sebagai litar perlumbaan tidak sah, menduga kelajuan secara berbahaya serta bunyi bising melampau daripada kenderaan diubah suai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila terdapat pembabitan remaja seawal usia 13 hingga 14 tahun, selain kebanyakan ibu bapa didapati tidak menyedari pembabitan anak mereka dalam aktiviti berisiko itu.
Katanya, pemeriksaan turut mengesan pelbagai kesalahan serius termasuk tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’, menggunakan nombor milik kenderaan lain, ubah suai ekzos melampau, tiada brek belakang serta tiada nombor enjin.
“Terdapat juga individu bertindak agresif dan cuba melarikan diri daripada tindakan penguatkuasaan.
“Difahamkan kos pengubahsuaian motosikal itu boleh mencecah sehingga RM10,000 bagi tujuan perlumbaan haram,” katanya.
Menurutnya, dalam operasi itu seramai 80 individu diperiksa dengan semua tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JPJ memandang serius aktiviti lumba haram kerana bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Orang awam khususnya ibu bapa diseru memantau pergerakan anak-anak, tidak membenarkan pembabitan dalam aktiviti berisiko serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“JPJ bersama agensi penguatkuasaan lain akan terus mempergiat operasi bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan Lebuhraya DUKE dan kawasan sekitarnya bebas daripada aktiviti lumba haram,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





